Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 April – Seorang lelaki yang menghadapi tuduhan menikam abang iparnya sehingga menyebabkan kematian dihadapkan ke Mahkamah Majistret, kelmarin.
Tidak ada pengakuan direkodkan daripada Roslani anak Jarum, 29, yang didakwa melakukan kesalahan itu di Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan B antara jam 1:25 dan 1:45 pagi pada 27 April 2018.
Mangsa, L/KPL Morni bin Yunos @ Tuah berusia 43 tahun merupakan anggota polis trafik di Pasukan Polis Diraja Brunei dan dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nurjauinah binti Haji Kula mengemukakan dakwaan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, Penggal 22 yang memperuntukkan hukuman mati.
Majistret Kanan Azrimah binti Haji Abdul Rahman memerintahkan tertuduh untuk ditahan reman dan menetapkan 12 Mei untuk sebutan semula sementara menunggu siasatan dijalankan.