Tuesday, December 31, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dihantui fobia zaman kanak-kanak

    Saya ingin berkongsi kisah yang telah lama saya simpan, satu pengalaman pahit yang menghantui saya sejak zaman kanak-kanak.

    Ia berkaitan dengan fobia yang saya anggap sudah lama berlalu, tetapi hakikatnya ia masih ada, menghantui setiap aspek kehidupan dewasa saya.

    Sejak kecil, saya sering digelar penakut. Takut kepada kegelapan, takut kepada bunyi-bunyian aneh di malam hari dan lebih pelik lagi, saya takut ditinggalkan sendirian di dalam kenderaan. Ya, mungkin kedengaran aneh, tetapi perasaan itu seperti satu ‘penjara’ yang mengurung jiwa saya dalam kegelapan dan kesunyian yang tak tertanggung.

    Pernah satu ketika, ibu bapa saya meninggalkan saya di dalam kereta hanya beberapa minit sahaja. Saya ditinggalkan di tempat duduk belakang, memerhatikan bayang-bayang lampu jalan yang bergerak. Waktu itu, saya masih kecil, dan hanya beberapa minit itu terasa seperti berjam-jam. Hati saya berdegup kencang, peluh mula mengalir deras walaupun tingkap kereta dibuka sedikit untuk pengudaraan.

    Sejak kejadian itu, saya tidak pernah betah ditinggalkan sendirian, lebih-lebih lagi dalam kenderaan.

    Gambar Freepik

    Namun, setelah dewasa, saya cuba menolak perasaan itu ke tepi. Saya fikir, ‘Ini hanya perasaan kanak-kanak. Sudah tentu ia akan hilang.’ Malangnya, tidak. Setiap kali saya perlu menunggu dalam kereta, walau cuma sebentar, saya mula merasa gelisah. Bayang-bayang yang saya lihat dahulu seolah-olah hidup semula, menakutkan saya seperti mimpi buruk yang tiada penghujungnya.

    Yang lebih mengejutkan, perasaan ini mula menghantui hubungan saya. Saya mula berasa takut untuk ditinggalkan oleh orang yang saya sayangi, sama seperti bagaimana saya takut ditinggalkan di dalam kereta. Saya tidak tahu bagaimana untuk menangani ini. Adakah sesiapa di luar sana yang pernah mengalami perkara yang serupa? Adakah fobia zaman kanak-kanak boleh menghantui kehidupan dewasa kita dengan begitu kuat?

    Saya benar-benar berharap pembaca yang pernah melalui situasi sebegini dapat berkongsi pandangan awda. Bagaimana awda mengatasinya? Adakah fobia ini hanya sebahagian daripada masa lalu yang masih belum dapat saya lepaskan, atau adakah ia satu perasaan yang lebih mendalam, berakar umbi dari pengalaman lalu?

    Fauzi

    NASIHAT DANG MP

    Terima kasih kepada Fauzi kerana berkongsi pengalaman awda. Ketakutan yang awda alami mungkin berkaitan dengan psikologi. Masalah begini mungkin memerlukan rawatan yang khusus daripada ahli profesional.

    Oleh itu, Dang MP berharap Fauzi dapat mencari bantuan dengan menghubungi pihak yang berkaitan seperti mendapatkan bantuan kaunseling atau terapi untuk mencari punca ketakutan serta mencari teknik untuk mengatasinya. Bergantung kepada tahap keseriusan masalah Fauzi dan juga diagnosis yang lebih tepat nanti, mungkin ubat-ubatan juga diperlukan untuk merawat masalah ini. Apapun, bantuan profesional mestilah diutamakan terlebih dahulu.

    Di samping itu, Fauzi boleh dapatkan sokongan sosial dengan bercakap kepada orang yang awda percayai untuk membantu. Uji dan kenal pasti ketakutan awda untuk menilai betapa realistiknya perasaan tersebut. Melibatkan diri dalam aktiviti yang menenangkan dan menjaga kesihatan mental keseluruhan awda boleh memberi kesan positif.

    Fobia seperti ini adalah sesuatu yang boleh diatasi dengan bantuan yang betul.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda