Oleh Dhil –
Perjalanan kami bermula seperti mana-mana kem kembara lain. Sebagai sukarelawan, aku bersama lima rakan – Hafiz, Salmah, Jannah, Dani, dan Amir – ditugaskan membawa sekumpulan pelajar universiti ke Kem Kamunting di pedalaman, kawasan yang terkenal dengan cerita-cerita seram. Namun, kami semua memilih untuk tidak ambil peduli, menganggap ia hanya cerita lama untuk menakut-nakutkan orang kampung.
“Kem ini, dulu tempat tinggal orang asli, tapi mereka pindah selepas banyak kes aneh. Ada yang kata tempat ini ‘berpenunggu’.”kata Hafiz ketika kami berjalan menuju ke tapak perkhemahan.
“Berpenunggu apanya? Semua tu karut,” balas Amir, ketawa kecil.
Kami ketawa bersama, walaupun aku tidak dapat mengelak perasaan seram yang perlahan-lahan menjalar ke hati. Tapi aku memutuskan untuk diam.
MALAM PERTAMA
Malam pertama di kem, Dani mencadangkan kami menjelajah ke dalam hutan selepas makan malam. “Jangan terlalu jauh,” kata Salmah, sedikit ragu-ragu. Tapi Dani tetap berkeras.
Dalam kegelapan malam, aku, Hafiz, Dani, dan Amir masuk ke dalam hutan. Lampu suluh kami malap, hanya cukup untuk menerangi jalan kecil yang licin dan berbatu.
Tiba-tiba Dani berhenti. “Eh, korang dengar tak?” tanyanya, menoleh ke arah semak-semak.
“Dengar apa?” balas Hafiz.
“Ada suara macam orang menangis…” Dani menuding ke arah gelap. Aku turut mendengar, tetapi bunyi itu sangat perlahan, seperti bisikan.
“Perempuan,” kata Amir. “Mungkin pelajar kita sesat?” ujarnya.
Kami ikut arah bunyi itu. Semakin kami mendekat, semakin jelas suara tangisan. Di tengah hutan, kami menemui seorang wanita berpakaian koyak-rabak, duduk mencangkung, dan menangis perlahan. Wajahnya ditutup dengan rambut panjang yang kusut-masai.
“Cik, kenapa di sini? sesat kah?” Hafiz cuba bertanya, tetapi wanita itu tidak menjawab.
Tiba-tiba, dia menoleh ke arah kami. Wajahnya… bukan wajah manusia. Mata hitamnya kosong, dan mulutnya robek seperti senyuman yang dicarik paksa.
Kami lari lintang-pukang tanpa menoleh ke belakang.
PENGAKUAN DANI
Pagi esoknya, Dani kelihatan gelisah. Dia tidak bercakap banyak, dan wajahnya pucat seperti tidak tidur semalaman. Aku mendekatinya selepas sarapan.
“Kau kenapa, Dani?” tanyaku.
Dani tidak menjawab seketika. Dia hanya tunduk, bermain-main dengan ranting kecil di tangannya. “Aku rasa… aku kenal perempuan tu.”
Aku terpaku. “Kenal? Maksud kau?”
Dani akhirnya membuka mulut, menceritakan sesuatu yang membuatkan darahku berderau.
“Beberapa bulan lepas… aku pernah buat benda bodoh di hutan ni. Aku dengan kawan-kawan aku… kami jumpa seorang perempuan. Dia sesat. Kami… kami kacau dia.”
“Kacau macam mana?” suaraku meninggi.
Dani tidak menjawab. Namun, matanya yang sarat dengan rasa bersalah sudah cukup menjelaskan. Mereka telah mencabul perempuan itu, dan mungkin lebih buruk lagi.
“Perempuan tu… mati?” tanyaku dengan suara bergetar.
Dani mengangguk perlahan.
DENDAM DI HUTAN
Malam itu, kem menjadi kacau-bilau. Satu demi satu pelajar melaporkan terdengar bisikan di telinga mereka. Ada yang melihat bayang-bayang wanita berjalan di tepi khemah mereka. Salmah yang menjaga pelajar-pelajar perempuan tiba-tiba menjerit histeria, katanya melihat seorang wanita tanpa wajah berdiri di pintu khemahnya.
Aku tahu ini bukan kebetulan. Roh perempuan itu mahu membalas dendam.
Ketika Dani cuba keluar dari khemah untuk menenangkan diri, aku mengikutinya. Dia duduk di bawah sebatang pokok besar, termenung.
“Dani, kau kena minta maaf,” aku berkata dengan tegas.
Dani hanya menggeleng. “Aku tak tahu macam mana. Dia dah mati.”
“Aku rasa dia masih di sini,” balasku.
Tiba-tiba, angin bertiup kencang. Suhu malam menjadi dingin. Bayang-bayang mula bergerak di antara pokok-pokok. Di depan kami, wanita itu muncul sekali lagi, rambutnya berterbangan walaupun tiada angin.
“Kau yang bunuh aku…” suara itu bergema, berat dan menyakitkan.
“Aku minta maaf! Aku minta maaf!” jerit Dani, berlutut sambil menangis. Tapi wanita itu tidak peduli. Dalam sekelip mata, tubuh Dani diangkat ke udara dan dilempar ke pokok, diikuti jeritan yang membuatkan bulu romaku meremang.
Kami menemui mayat Dani keesokan harinya, tergantung pada pokok dengan keadaan mengerikan. Hafiz yang paling kuat di kalangan kami akhirnya tidak mampu menahan air matanya. Kami meninggalkan kem itu dengan trauma yang tidak akan pernah hilang.
Hingga hari ini, aku masih dihantui suara tangisan wanita itu setiap kali berada di tempat sunyi. Aku tahu, dendamnya belum selesai.