Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OGOS – Seorang lelaki warga Indonesia yang melakukan pencerobohan, khianat dengan menyebabkan kerosakan serta tinggal melebihi tempoh di negara ini dihukum penjara dua tahun dan tiga bulan dengan tiga sebatan oleh Mahkamah Perantaraan disini, hari ini.
Hukuman terhadap Eko Budi Cahyono, 35, yang mengaku bersalah atas pertuduhan itu, dijatuhi Hakim Muhammed Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli.
Dalam kejadian pada 25 Julai 2019, tertuduh menceroboh kawasan Bandtree Sdn Bhd dan pergi ke bangunan yang menempatkan kuasa elektrik dan memotong kabel elektrik yang terdapat di dalamnya.
Bekalan eletrik yang tiba-tiba terputus menyebabkan pengawal keselamatan bergegas untuk membuat pemeriksaan.
Pengawal keselamatan menemui peralatan milik tertuduh berada di atas tanah dan kemudian terlihat tertuduh muncul dari kawasan berdekatan transformer bekalan elektrik. Tertuduh ditahan dan diserahkan kepada polis.
Timbalan Pendakwa Raya, Syazwani binti Jumat memaklumkan mahkamah bahawa kerosakan pada kabel elektrik dianggarkan berharga $9,500 dan tertuduh telah tinggal selama 1,430 hari di negara ini setelah pas kerjanya tamat tempoh pada 25 Julai 2015.