Monday, February 10, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dihukum penjara setelah rakam diri rosakkan harta benda awam

    BOGOTA, 9 FEB – Seorang pempengaruh dari Colombia, Daneidy Barrera Rojas, atau dikenali sebagai Epa Colombia, dijatuhi hukuman penjara lima tahun selepas merakamkan dirinya merosakkan harta benda awam semasa menyertai protes.

    Pada November 2019, Colombia digegarkan oleh satu protes yang ganas terhadap kerajaan bekas presiden, Ivan Duque. Ketika itu Epa Colombia menyiarkan video dirinya sedang merosakkan stesen pengangkutan awam di Bogota, memecahkan tingkap, pembaca kad dan daftar akses dengan menggunakan tukul serta mengecat dinding dengan cat semburan, menurut laporan Oddity Central.

    Video berkenaan dengan cepat menjadi tular menarik banyak perhatian, tetapi ia juga menjadi bahan untuk penyiasatan yang boleh membawa hukuman penjara tiga setengah tahun kerana kerosakan harta benda dan gangguan pengangkutan awam.

     

    Semua di atas: Tangkap layar dari video semasa kerosakkan dilakukan. – Oddity Central

    Epa Colombia kemudiannya memohon maaf atas tindakannya tetapi permohonan maafnya tidak banyak membantu. Lebih malang lagi apabila Pejabat Pendakwa Raya menaikkan hukuman penjara menjadi 5 tahun dan denda bersamaan 493 gaji minimum bulanan.

    Peguam pembelaan Epa Colombia, Daneidy memfailkan rayuan dengan Mahkamah Agung Keadilan untuk mengurangkan hukumannya.

    Pada 27 Januari lalu, mahkamah tetap mengekalkan hukuman terhadapnya dan mengarahkan perlaksanaan hukuman berkenaan.

    Dalam video lain yang telah disebarkan, usahawan dan pempengaruh popular berkenan dilihat menangis dan mengadu tentang hukuman terhadapnya.

    Epa Colombia menangis dan mengadu tentang hukuman terhadapnya. – Oddity Central

    “Rakan-rakan semua, saya sangat sedih,” kata Epa Colombia itu kepada pengikutnya.

    “Saya datang bekerja di salun rambut sepanjang hari. Semasa dalam perjalanan pulang, polis datang menangkap saya. Tetapi saya memberitahu mereka untuk tunggu sehingga peguam saya datang.”

    “Alangkah sedihnya meninggalkan salun rambut saya dan seluruh pasukan kerja saya melihat saya dibawa ke mahkamah,” sambung Epa Colombia.

    “Saya sentiasa mahu baiki kembali TransMilenio (syarikat pengangkutan awam yang terlibat), membayarnya dan menambah baik dalam tempoh lima tahun ini. Satu-satunya perkara yang saya lakukan ialah maju, bekerja, dan mencipta pekerjaan,” ujarnya lagi.

    Dengan lebih 5.2 juta pengikut di Instagram sahaja, Epa Colombia terbukti sebagai salah seorang pempengaruh paling popular di Colombia.

    Colombia One turut melaporkan bahawa, sebagai sebahagian daripada hukumannya, Epa Colombia juga dilarang daripada menggunakan media sosial. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda