SURABAYA, INDONESIA, 25 MAC – Penutupan sempadan dan peraturan penjarakkan sosial untuk membendung wabak koronavirus gagal menghalang sepasang kekasih di Indonesia daripada diijabkabulkan hari ini, tanpa adat memeluk dan mencium pesangan mempelai.
Irra Chorina Octora, 29, dan pasangan warga Turki Yavuz Ozdemir, 32, dinikahkan di masjid Al Akbar di Surabaya, sambil disaksikan oleh kawan dan ahli keluarga, masing-masing duduk dua meter di antara satu sama lain.
Pasangan itu memakai topeng muka dan mengekal jarak mereka sepanjang majlis untuk mematuhi peraturan ketat yang dikenakan oleh pihak berkuasa, yang telah mengharamkan perhimpunan beramai-ramai termasuk perkahwinan tetapi membenarkan beberapa kekecualian untuk perkahwinan yang ditempah sebelum pandemik bermula.
Langkah pencegahan virus diamalkan, dengan 25 orang menghadiri acara menjalani pemeriksaan suhu di pintu masuk dan gel pembasmi kuman diberikan di seluruh tempat. Majlis perkahwinan juga berakhir dalam masa 30 minit.
Satu-satunya hubungan rapat yang dilihat adalah apabila Ozdemir, yang pertama kali bertemu Octora di media sosial, membuka topeng muka untuk pasangannya menyuapkan kek perkahwinan.

Majlis persandingan mereka dibatalkan dan hanya dibenarkan oleh masjid pada hari ini, lebih awal daripada dirancang.
“Semua orang mesti melalui pintu masuk disinfektan kami setelah diperiksa dengan termometer kami,” beritahu jurucakap masjid Al Akbar Helmy M. Noor kepada AFP.
Octora berkata beliau masih gembira dengan perkahwinan meskipun sekatan yang dikenakan.
“Kami bimbang jika kami masih meneruskan dengan majlis akad nikah pada 29 Mac, sesuatu akan berlaku dan kami mungkin tidak berkahwin akhirnya,” kata beliau. – AFP