Saturday, October 5, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dikejar pontianak

    Oleh Nazrin –

    Aku sedang menunggu keputusan peringkat A. Ketika itu, aku bekerja sambilan di sebuah restoran sebagai seorang pelayan.

    Aku dan rakanku, Zulhilmi memang bercadang dari awal lagi untuk bekerja sambilan pada masa cuti nanti di samping mencari pengalaman bekerja. Ini kerana tempoh percutian kami setelah selesai menduduki peperiksaan adalah begitu panjang.

    Aku menjemput Zulhilmi terlebih dahulu di rumahnya yang tidak jauh dengan rumahku sebelum pergi bekerja. Giliran kami bekerja di restoran tersebut ialah pukul 2 petang hingga pukul 10 malam.

    Pada suatu hari, bos tempat kami bekerja memberitahu bahawa esok kami terpaksa pulang lewat sedikit kerana restoran itu menerima tempahan daripada pelanggan untuk mengadakan jamuan. Kami diberitahu yang gaji kami akan dibayar dua kali ganda pada hari itu saja. Sebab itulah kami terus saja bersetuju dan bersedia untuk bekerja sehingga lewat malam.

    Dalam perjalanan pulang dari bekerja, Zulhilmi telah memberitahu perasaannya untuk bekerja overtime.

    Gambar Freepik

    “Rin! Seronok juga ye kalau tiap-tiap hari ada kerja overtime‘. Banyak gaji kita dapat,” katanya.

    “Ya, betul tu. Lagipun, memang bosan kalau duduk di rumah. Tambahan lagi kita bekerja waktu petang. Kalau ada overtime, dapat jua menambah poket kita,” kataku bersetuju dengan kata-kata Zulhilmi.

    Untuk pulang menuju ke rumah, kami terpaksa melintas kawasan tempat penyembelihan binatang ternakan. Hanya jalan itu saja yang dilalui untuk kami pulang ke rumah. Sekali melintas di sana, aku selalu teringat bahawa aku dan Zulhilmi pernah pergi ke tempat penyembelihan itu untuk memohon kerja sambilan tetapi permohonan kami itu ditolak kerana bos syarikat itu cuma mahukan pekerja tetap sahaja.

    Setiap kali itu juga, aku sering teringat mengenai cerita-cerita seram yang pernah diceritakan oleh orang-orang kampungku mengenai kisah mereka terserempak dengan kambing melintas di jalan raya tanpa kepala, darah mengalir di jalan raya, kepala lembu bergolek-golek dan bermacam-macam lagi cerita seram yang aku dengar. Aku menganggap bahawa mereka hanya mereka-reka cerita sahaja. Aku tidak mempercayai semua itu kerana sepanjang aku pulang dari bekerja, aku tidak pernah terserempak dengan kejadian-kejadian ganjil yang berlaku di kawasan itu.

    Keesokan malamnya, acara berakhir kira-kira pukul 12 tengah malam dan kami dibenarkan pulang ke rumah kira-kira 12:30 tengah malam selepas selesai menyiapkan tugas.

    “Eh Zul! Aku terasa betul-betul letih malam ni. Engkau tak letih?” tanyaku kepada Zulhilmi.

    “Aku pun sebenarnya letih juga. Kalau macam ani tiap-tiap hari, Tidak aku sanggup,” jawab Zulhilmi sambil mengeluh.

    Sewaktu memandu pulang ke rumah, aku menguap panjang beberapa kali kerana terlalu letih dan mengantuk. Begitu juga dengan Zulhilmi. Badanku pada malam itu terasa seram sejuk kerana suasana pada malam itu sangat sunyi sekali kerana tidak ada sebuah kereta pun yang kami jumpai lalu di kawasan itu pada malam-malam buta begini.

    Setiba kami pada jalan kawasan penyembelihan itu, bulu romaku tiba-tiba menegak apabila di depan mata kepala kami sendiri, kami melihat seorang perempuan yang berbaju putih dan berambut panjang mengambil air di dalam longkang dengan mengunakan tangannya lalu meminumnya.

    Akhirnya aku perasan bahawa air longkang yang diminumnya itu adalah darah binatang yang mengalir dari tempat kawasan penyembelihan itu.

    Aku mengucapkan beberapa kali dan kemudian membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Zulhilmi yang berada di sebelahku juga turut membaca surah-surah yang diketahuinya.

    Tiba-tiba perempuan itu menoleh ke arah kami. Mulutnya penuh dengan darah yang diminumnya. Wajahnya kelihatan sangat menakutkan apalagi sewaktu ia melihatkan gigi taringnya.

    Pada masa itu juga aku menekan minyak keretaku. Sewaktu aku melihat cermin pandang belakang, kelihatan perempuan itu terbang mengejar kami dari belakang kereta.

    Semakin hampir perempuan itu mendekati keretaku, semakin laju kereta yang aku pandu.

    Apabila ku toleh lagi semula ke belakang, kelihatan perempuan itu sudah tidak ada lagi.

    Pada malam itu, Zulhilmi tidak berani untuk pulang ke rumahnya dan dia bercadang untuk bermalam sahaja di rumahku pada malam itu.

    Sampai sahaja di perkarangan rumahku, aku terus mematikan enjin kereta lalu kami terus keluar dari kereta dan berlari ke rumah. Sewaktu aku membuka pintu rumah aku sempat lagi menoleh ke belakang.

    Kelihatan perempuan yang mengejar kami tadi berada di depan jalan raya rumahku sambil tangannya melambai-lambai.

    “Subhanallah!” Aku tiba-tiba menyebutnya dan kami terus saja masuk ke rumah. Aku terus saja membawa Zulhilmi pergi ke bilikku lalu aku mengambil selimut dan membungkus diri kami masing-masing. Walaupun dalam keadaan ketakutan, kami akhirnya tertidur jua kerana terlalu letih dan mengantuk.

    Aku dan Zulhilmi terkejut dari tidur apabila mendengar bunyi pintu diketuk. Kami cuba untuk melihat melalui celah-celah selimut. Kelihatan pintu bilikku dibuka dan dengan perlahan-lahan daun pintu ditolak.

    “Rin! Sudah bangun? Tidak bekerjakah hari ni? Ini sudah masuk tengah hari,” suara ibuku kedengaran memanggil namaku.

    lbuku terkejut melihat Zulhilmi ada bersamaku ketika itu. Aku lalu menceritakan peristiwa semalam kepada ibuku.

    “Syukur juga kamu inda apa-apa,” kata ibuku kepada kami.

    Entah kenapa pada hari itu badanku terasa sejuk. Begitu juga dengan Zulhilmi. Akhirnya kami terpaksa bercuti selama lima hari kerana demam. lbuku memberitahuku bahawa kami terkena ‘demam ketaguran’ kerana apa yang kami jumpai itu adalah pontianak.

    Setelah sembuh dari demam, aku dan Zulhilmi pun bekerja semula. Ayahku memberitahu kami bahawa jangan takut apabila berdepan dengan makhluk sedemikian. Kita hanya patut takut kepada Allah. Apa yang kami jumpai itu adalah jelmaan syaitan atau jin kerana makhluk sedemikian adalah ciptaan Allah jua. Aku dan Zulhilmi cuma mengangguk-anggukan kepala kami sahaja.

    Seperti biasa pada malam selepas kami pulang dari bekerja, kami terserempak lagi dengan perempuan yang kami jumpai tempoh hari. Aku mengingatkan Zulhilmi agar menguatkan semangat sambil mulut kami terkumat-kamit membaca surah. Takut juga apabila berdepan dengan makhluk demikian tetapi akhirnya perempuan tadi pun hilang dengan sendirinya.

    Kami bersyukur kepada Allah kerana kami telah terhindar dari gangguan makhluk tersebut dan Alhamdulillah kami tidak lagi diganggu oleh kejadian-kejadian yang mengerikan walaupun kami pulang lewat pada tengah malam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda