Oleh Sim Y. H. & Daniel Lim
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT– Dua individu warga Bangladesh dikenakan kompaun sebanyak $100 setiap seorang setelah didapati melakukan kesalahan di bawah Akta kesalahan-Kesalahan Kecil Seksyen 12 (1) kerana membuang sampah di tempat awam di kawasan Kampung Serusop, kelmarin.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, di sini, kedua-dua orang individu berkenaan didapati melakukan kesalahan semasa pemantauan rutin oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, di mana kedua-dua individu berkenaan dikehendaki membayar kompaun berkenaan di Bahagian Kewangan, Tingkat 3, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan.
Di Daerah Belait, seorang perempuan telah dikenakan denda $100 oleh Bahagian Penguatkuasaan Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria kerana membuang sampah di tempat awam. Sri Melok Harsumaroh didapati membuang beberapa beg plastik berisi styrofoam tidak digunakan serta payung rosak di tempat awam di belakang kedai di Jalan Bunga Raya, Kuala Belait. Perbuatannya itu merupakan satu kesalahan di bawah Penggal 30, Bab 12 (1) (a) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil.
Sementara itu, baru-baru ini, seorang individu di Daerah Belait juga dikenakan denda $100 oleh Bahagian Penguatkuasaan Pejabat Daerah Belait atas kesalahan meletakkan dan meninggalkan barang yang tidak diingini di kawasan awam tanpa kebenaran.
Kesemua mereka diberi tempoh tujuh hari untuk membayar denda dan jika gagal akan mengakibatkan kes berkenaan dihadapkan ke mahkamah di mana mereka boleh dijatuhi denda $1,000 bagi kesalahan pertama dan didenda $3,000 serta penjara tidak melebihi tiga bulan bagi kesalahan seterusnya.
