Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 SEPT – Majlis Dikir Maulud sempena Sambutan Maulidur Rasul di Istana Nurul Iman diteruskan ke malam ke-10, dengan kehadiran jemaah lelaki dan wanita yang memenuhi surau-surau istana kelmarin.
Hadir menyertai majlis di surau lelaki ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin bersama para Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Pemangku Pegawai Daerah Temburong, para pegawai, kakitangan dan jemputan.
Turut sama hadir ialah seramai 60 pegawai dan kakitangan lelaki Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan; 60 Ahli Malis Perundingan Daerah Temburong; 30 KBM Masjid-masjid Daerah Temburong, serta 50 rombongan pegawai-pegawai dan guru-guru pendidikan khas ugama.
Majlis dimulakan dengan sembahyang fardu Isyak berjemaah, diikuti bacaan Surah Al-Fatihah dan Sayyidul Istighfar. Bacaan ayat-ayat suci Al-Quran diperdengarkan oleh Ahmad Suja’ee bin Begawan Mudim haji Matassim sebelum diteruskan dengan ceramah agama bertajuk Menghayati Sunnah Rasulullah oleh Haji Muskrisman Safari bin Haji Mustapa.
Persembahan dikir seterusnya mengalunkan Dikir Assalamualaika dan Dikir Asyraqal, diikuti Dikir Khairuman, Dikir Bisyahrin, Dikir Al-Hamdu dan Dikir Badat, sebelum majlis diakhiri dengan bacaan Doa Dikir serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Sementara itu, di surau khas bagi kaum wanita, majlis serupa turut berlangsung dengan kehadiran 60 pegawai dan kakitangan wanita KSSUP; 60 ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) Daerah Temburong ; 30 orang KBM Masjid-masjid Daerah Temburong; serta 50 serta pegawai-pegawai dan guru-guru pendidikan khas ugama.
Bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dipersembahkan oleh Dayang Salamah binti Haji Abd Rahman, manakala ceramah agama bertajuk Rasulullah SAW dalam Meneladani Keluarga Baginda disampaikan oleh Dayang Hajah Nur Hasyimah binti Haji Mohd Yassin.
Seperti di pihak lelaki, majlis turut dimulakan dengan sembahyang fardu Isyak berjemaah, bacaan Surah Al-Fatihah dan Sayyidul Istighfar sebelum diteruskan dengan pengisian seterusnya.
Semua di atas: Antara suasana semasa majlis berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR OLEH RAFI ROSLI







