Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dikir Maulud bergema di Istana Nurul Iman

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Seramai 140 orang hadir menyemarakkan Majlis Dikir Maulud yang berlangsung di Istana Nurul Iman kelmarin sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW bagi malam kedua.

    Antara yang hadir pada majlis berkenaan ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan, di samping pegawai-pegawai Kementerian Pertahanan, ahli Jawatankuasa Tertinggi Belia Masjid Senegara serta pegawai dan kakitangan Jabatan Pengajian Islam (Bahagian Sekolah Ugama Brunei IIA).

    Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, disusuli dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Haji Mosliadi bin Haji Kamis.

    Majlis diteruskan dengan tazkirah bertajuk Menghayati Sunnah Rasulullah yang disampaikan oleh Haji Hazimin bin Haji Metali yang mengupas kepentingan mencontohi akhlak dan sunnah Baginda SAW dalam kehidupan seharian.

    Acara diteruskan dengan persembahan Dikir Assalamualaika dan Dikir Khairuman oleh Kementerian Pertahanan, manakala Dikir Bisyahrin dibawakan oleh Jawatankuasa Tertinggi Belia Masjid Senegara. Dikir-dikir seterusnya pula dipersembahkan oleh pegawai-pegawai guru ugama Brunei A.

    Majlis kemudian diakhiri dengan bacaan Doa Dikir dan Doa Peliharakan Sultan sebagai tanda kesyukuran dan doa berterusan untuk kesejahteraan dan kemakmuran negara serta keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    Sementara itu, majlis serupa turut berlangsung di Surau Wanita Istana Nurul Iman.

    Hadir sama di majlis tersebut ialah ahli-ahli Badan Kebajikan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (BAKTI), Muslimah Masjid Omar ‘Ali Saifuddien serta guru-guru ugama di bawah Bahagian Sekolah-Sekolah Agama Brunei IIA, Jabatan Pengajian Islam (JPI).

    Majlis diserikan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang dibacakan oleh Norliza binti Haji Jalil daripada Brunei IIA, manakala ceramah agama telah disampaikan oleh Dayang Siti Juhaidah binti Haji Bujang.

    Semua di atas: Antara suasana semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda