Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 SEPT – Majlis Dikir Maulud sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW di Istana Nurul Iman, malam kelmarin, telah memasuki malam ke-12 dengan kehadiran jemaah lelaki dan wanita yang memenuhi surau-surau istana.
Hadir menyertai majlis di Surau Lelaki ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha serta Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Awang Mohammad Nazri bin Mohammad Yusof.
Turut hadir seramai 60 pegawai dan kakitangan lelaki MTIC; 60 daripada Persatuan Mahasiswa dan Alumni Kementerian Pendidikan; 30 ahli Kumpulan Belia Masjid (KBM) Masjid Kampung Lumapas; serta 50 ahli rombongan pegawai dan guru ugama Bahagian Sekolah Ugama Brunei IV.
Majlis dimulakan dengan sembahyang fardu Isyak berjemaah, diikuti bacaan Surah Al-Fatihah dan Sayyidul Istighfar. Bacaan ayat-ayat suci Al-Quran diperdengarkan oleh Haji Mohammad Rudzaini bin Haji Mohamad sebelum diteruskan dengan ceramah agama bertajuk Menghayati Sunnah Rasulullah oleh Haji Awang Muhammad Najib bin Haji Awang.
Persembahan dikir kemudiannya mengalunkan Dikir Assalamualaika dan Asyraqal, diikuti Khairuman, Bisyahrin, Al-Hamdu dan Badat, sebelum majlis diakhiri dengan bacaan Doa Dikir serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Sementara itu, di Surau Khas Wanita, majlis serupa turut berlangsung dengan kehadiran 60 pegawai dan kakitangan wanita MTIC; 60 ahli Kumpulan Muslimah Masjid An-Na’im Kampung Panchor Mengkubau; 30 Muslimah Masjid Kampung Limau Manis; serta 50 ahli rombongan pegawai dan guru ugama Bahagian Brunei IV.
Bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dipersembahkan oleh Hajah Rahmah binti Ali manakala ceramah agama bertajuk Rasulullah SAW dalam Meneladani Keluarga Baginda disampaikan oleh Dayang Dr Norhazerah binti Baha.
Seperti di pihak lelaki, majlis dimulakan dengan sembahyang fardu Isyak berjemaah, bacaan Surah Al-Fatihah dan Sayyidul Istighfar sebelum diteruskan dengan pengisian seterusnya.
Semua di atas: Antara suasana majlis dikir tersebut.

