Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Sempena memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, seluruh masjid, surau dan balai ibadat di negara kembali bergema dengan alunan Dikir Maulud yang berlangsung selama 12 malam berturut-turut bermula 1 Rabiulawal 1447 Hijrah bersamaan 24 Ogos hingga 12 Rabiulawal 1447 Hijrah bersamaan 4 September.
Majlis Pembukaan Dikir Maulud Nabi Muhammad SAW diadakan malam tadi di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong yang menandakan bermulanya Majlis Dikir Syarafil Anam di seluruh negara bagi Tahun 1447H/2025M.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Datin.

Turut hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan dan Datin; Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Agama (KHEU), Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim dan isteri serta pegawai-pegawai kanan dan ahli jemaah masjid berkenaan.
Selain memperingati Hari Keputeraan Rasulullah SAW, majlis turut bertujuan memakmurkan masjid, mengimarahkan syiar Islam dan mengeratkan hubungan silaturahim antara warga KHEU dengan jemaah masjid serta penduduk kampung.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh tetamu kehormat sebelum diteruskan dengan tazkirah mengenai kelebihan selawat yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah/Penolong Pensyarah, Pusat Pengajian Jawi dan Kitab Turath, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Awang Abdul Rahman bin Haji Ajak.
Persembahan Dikir turut memeriahkan suasana dengan Dikir Assalamualaika oleh Pegawai dan Ahli Jawatankuasa Takmir Jame’ ‘Asr; Dikir Khairuman Syambas oleh Gabungan Pasukan Dikir Kampong Belimbing dan Kampong Subok; Dikir Bishahrin oleh Pasukan Dikir KUPU SB; Dikir Al-Ham oleh Pasukan Dikir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah serta Dikir Badat Kopi oleh Kumpulan Dikir Persatuan Perangkap.
Majlis diakhiri dengan Dikir Asyraqal oleh Pedikir Jabatan Pengajian Islam bersama Pasukan Dikir Pusat Dakwah Islamiah, KHEU.
Doa Dikir dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Awang Abdul Aziz bin Haji Abdullah, manakala Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Suhaili bin Haji Metali Al-Hafiz.
Semua di atas: Antara suasana semasa majlis berkenaan.

