Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JULAI – Lima warga asing dan sebuah syarikat tempatan dikenakan kompaun atas kesalahan membuang sampah secara haram di kawasan hutan berhampiran tempat tinggal mereka di Kampung Sungai Orok, Salambigar.
Kesemuanya warga Indonesia berkenaan dikenakan kompaun sebanyak $300 setiap seorang pada 26 Julai lalu sementara sebuah syarikat pembinaan turut dikenakan kompaun sebanyak $2,000 bagi kesalahan serupa.
Kompaun-kompaun berkenaan dikeluarkan oleh Bahagian Perlesenan dan Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Brunei dan Muara melalui Operasi Bersih Sepadu dengan kerjasama agensi penguatkuasaan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja serta Jabatan Daerah Tutong.
Operasi berkenaan menyasarkan sebuah penempatan pekerja asing di Kampung Sungai Orok dan hasil pemeriksaan mendapati beberapa pelanggaran di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian, Penggal 30, termasuk longgokan sampah domestik, puntung rokok, bahan binaan, perabot rosak dan sampah elektronik atau e-waste yang dibuang secara tidak teratur di kawasan hutan berhampiran.
Menurut kenyataan, perbuatan berkenaan bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh mencemarkan alam sekitar serta menjejaskan kesihatan dan keselamatan awam.
Tindakan lanjut telah diambil termasuk memberi amaran kepada penghuni-penghuni kawasan terlibat agar tidak mengulangi perbuatan berkenaan. Kesemua individu dan syarikat terbabit diarahkan untuk menjelaskan denda kompaun dalam tempoh tujuh hari dan sekiranya gagal, kes akan dibawa ke mahkamah.
Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan denda tidak melebihi $9,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali, manakala syarikat boleh didenda hingga $30,000.
Jabatan Daerah Brunei dan Muara turut memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berhubung sebarang kegiatan pembuangan sampah secara haram dengan menyertakan alamat lokasi dan gambar melalui WhatsApp ke talian 8321581.
Semua di atas: Antara kesalahan-kesalahan yang dikesan.

