Selasa, Julai 29, 2025
27.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ameng dikecam tak layak jadi Ikon Antidadah

    Terbuka berkongsi pengalaman ketika menjalani hukuman penjara akibat dadah, penyanyi Ameng menganggap titik hitam yang berlaku adalah satu bentuk pengajaran untuk memberi manfaat kepada orang ramai. 

    Malah selepas diangkat sebagai Ikon Antidadah 2025, Ameng atau Wan Aminuddin Wan Ismail, 56, berkata sudah menjadi tanggungjawabnya untuk memberi pengajaran terutama buat golongan anak muda tentang bahana penggunaan bahan terlarang itu. 

    “Kisah saya kena rotan selalu dikongsikan. Walau sampai sekarang susah nak lupa, tetapi saya terbuka untuk cerita. Perkara yang baik tak perlu nak selindung. Kebenaran itu memang pahit, tapi ia demi kebaikan”.

    Ameng juga banyak berkongsi tentang kesan dadah terutama kehidupan dalam penjara, selain itu penting juga untuk tahu apa yang saya lalui dalam proses pemulihan. 

    “Sekarang ini saya seperti jadi kaunter pertanyaan, bukan sahaja tentang masalah dadah, malah ada juga ahli keluarga banduan nak tahu waktu melawat di penjara,” katanya ketika dihubungi mStar. 

    Ameng menerima pelantikan bergelar ikon sempena Majlis Sambutan Peringatan Antidadah 2025 yang berlangsung di Jitra, Kedah pada 25 Julai lalu. 

    Penyanyi ini akan bekerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menerusi program yang dianjurkan untuk memberi pendedahan berkaitan masalah dadah. 

    Di sebalik tanggungjawab yang diberikan, Ameng juga tidak terlepas daripada tanggapan negatif sesetangah pihak yang  melihat bekas banduan sepertinya bukan individu layak diangkat sebagai ikon. 

    Enggan ambil pusing pandangan sebegitu, baginya penglibatan ini menjadi bukti dia telah pulih sepenuhnya dan tidak lagi terlibat dengan bahan terlarang. 

    “Pemilihan sebagai ikon ini bukan satu proses yang mudah, pihak berkenaan sendiri perlu pastikan saya benar-benar bebas dari masalah dadah. 

    Katanya lagi kepada mStar, secara tidak langsung lantikan sebagai ikon ini menunjukkannya sudah bersih dan program pemulihan sebelum ini berjaya.

    “Ada juga kata-kata negatif yang anggap saya tidak layak sebab bekas banduan, tapi bagi saya orang akan bercakap apabila kita sudah berjaya”. 

    “Golongan penagih ini perlu diberi bantuan untuk pulih, kita kena ubah stigma. Janganlah pandang serong sebaliknya kita bantu mereka,” jelasnya. – Agensi

    Ameng mahu beri kesedaran kepada lebih ramai orang tentang kesan dadah.-mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda