AS dilanda kekurangan gel pembersih tangan, topeng

NEW YORK – Wabak Covid-19 semakin menular ke seluruh dunia, namun belum ada ubat atau vaksin khusus untuk mengubati virus tersebut.

Pencegahan merupakan cara paling terbaik buat masa kini untuk menghindari jangkitan tersebut.

Salah satu cara menghindari virus ini adalah melalui penjagaan kebersihan seperti kerap membasuh tangan atau menggunakan pembersih tangan (sanitizer).

Namun dalam kemelut penularan wabak ini, pembersih tangan kini menjadi rebutan sehinggakan habis terjual malah penjual-penjual mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan mengenakan harga yang tinggi.

Pembersih tangan di Amazon terlalu mahal. Di Walmart hujung minggu ini semua pembersih tangan telah habis terjual. Hanya pada percubaan kali ketiga, Ken Smith berjaya menemui gel pembersih tersebut di Walgreens, di mana hanya tiga botol Purell tersisa, lalu dia membeli dua daripadanya.

Tanda di rak kedai QFC di Kirkland menyatakan bahawa semua pembersih tangan sudah habis terjual. – AP
Pekerja membuat gel pembersih tangan (hand sanitizer) di kilang Companhia Nacional do Alcool (CNA) di Piracicaba, Brazil, terpaksa menambah waktu bekerja kerana kekurangan stok dan permintaan yang sangat tinggi. – AP
Rak yang sebelum ini dipenuhi dengan topeng muka kini kosong di kedai Home Depot di Seattle. Topeng muka merupakan antara barang yang disyorkan oleh pihak kesihatan untuk mencegah wabak virus tersebut. – AP
Gambar bertarikh 3 Mac 2020, menunjukkan stesen pembersih tangan yang terdapat di Stadium Roger Dean Chevrolet. Stesen-stesen ini juga banyak disediakan di Pusat membeli-belah dan arena sukan yang lain. – AP

“Saya tidak mahu membeli dan melonggokkannya,” kata Smith, bekas juruteknik biomedikal di Wichita Falls, Texas.

Ketakutan terhadap koronavirus telah menyebabkan orang ramai membuat simpanan gel pembunuh kuman tersebut, menyebabkan rak-rak di kedai kosong dan penjual dalam talian mengambil kesempatan untuk menjualnya dengan harga yang tinggi demi mengaut keuntungan mendadak. Lebih banyak stok baharu akan datang, walaupun tidak jelas berapa lama penjual akan membaharui semula stok.

Jualan pembersih tangan di Amerika Syarikat meningkat 73 peratus dalam empat minggu yang berakhir pada 22 Februari lalu berbanding tempoh yang sama setahun yang lalu, menurut firma penyelidikan pasaran Nielsen.

Gel berasaskan alkohol adalah mudah digunakan, tetapi pembersih tangan bukanlah cara terbaik untuk membersihkan tangan anda. Justeru, sabun dan air masih paling berkesan, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS (CDC). Pusat itu mengesyorkan terlebih dahulu mencuci tangan dengan air suam atau sejuk dan kemudian menggosok tangan dengan menggunakan sabun selama 20 saat sehingga ke belakang tangan, di antara jari-jari dan di bawah kuku jari sebelum membilas.

Jika anda tidak berada berhampiran sinki, pembersih tangan boleh digunakan. Tetapi perlu diingat bahawa ia tidak membunuh semua kuman, kata CDC. Baca label dan pastikan anda menggunakan salah satu yang mempunyai alkohol sekurang-kurangnya 60 peratus, kata agensi kesihatan. Selepas meletakkan gel pembersih di tapak tangan, sapukan tangan anda sehingga kering. Tip lain yang disyorkan adalah jangan menyentuh muka anda, kerana pegawai kesihatan mengatakan virus boleh memasuki badan dari mata, mulut atau hidung anda.

Hospital lebih prihatin isu kekurangan topeng muka, turut dibeli secara borong oleh orang ramai di sebalik rayuan untuk tidak melakukan pembelian borong oleh pegawai kesihatan.

Bilik pesakit dan rawatan di hospital sentiasa mempunyai sinki dan sabun untuk mencuci tangan, kata Nancy Foster, ketua keselamatan dan kualiti pesakit Persatuan Hospital Amerika. Tetapi tidak ada alternatif yang baik untuk topeng bagi jururawat dan doktor.

Pusat membeli-belah dan arena sukan menambah lagi stesen pembersih tangan. Sesetengah tempat kerja mengatakan bahawa mereka juga sedang menguruskannya.

Purell, yang merupakan pembersih tangan terlaris, sedang meningkatkan pengeluarannya. Walmart dan kedai-kedai lain mengatakan bahawa mereka melakukan rundingan dengan pembekal untuk menambah stoknya, tetapi mereka tidak memberi masa berapa lama yang perlu untuk menambahkan stoknya.

Purell berkata ia telah mendapat permintaan lebih tinggi daripada kemudahan penjagaan kesihatan di samping kompleks membeli-belah. Ia menambah syif bagi pekerja manakala pekerja melakukan kerja lebih masa di dua kilangnya di Ohio, di mana kebanyakan Purell dibuat, kata Samantha Williams, jurucakap syarikat induknya Gojo Industries.

Bath & Body Works, yang menjual pembersih tangan dengan aroma seperti ros vanila dan colada nanas, berkata mereka dapat menambah sebanyak 1,700 stok di kedainya. Eksekutif L Brands di Bath & Body Works berkata minggu lalu bahawa pembersih tangan terdiri daripada lima peratus daripada jumlah perniagaannya dan ia mencatatkan pertumbuhan “pada kadar yang sangat tinggi.”

Walmart telah melihat permintaan yang lebih tinggi untuk bekalan pembersihan dan barangan lain, sama seperti ketika pembeli mula bersiap untuk taufan.

Peruncit terbesar dunia itu mengatakan ia sedang bekerjasama dengan pembekal untuk membaharui semula stok barangan tersebut, termasuk pembersih tangan.

Di Costco, Los Angeles pada Selasa lalu, pembersih tangan telah habis terjual dan pembeli beramai-ramai menuju ke belakang kedai di mana para pekerja sedang sibuk menguruskan palet demi palet air botol. “Jangan percaya khabar angin itu,” seorang pekerja menjerit.

Di Amazon, kebanyakan pembersih tangan habis terjual. Harga yang dikenakan masih terlalu mahal, walaupun syarikat itu mengatakan telah mengawasi polisi penjualan harganya. Dua botol 8 aun Purell, sebagai contoh, ditawarkan dengan harga AS$119 oleh penjual pihak ketiga, penjual tersebut boleh menyenaraikan barang-barang mereka untuk dijual di Amazon.com secara langsung.

Gaelen Gates berkata dia mengunjungi dua buah Walgreens, Safeway dan CVS minggu ini dan tidak dapat mencari sebarang pembersih tangan.

Peguam yang tinggal di San Francisco ini, tidak bimbang tentang virus itu, dia hanya cuba mengelakkan diri daripada mengalami demam di festival muzik dan filem yang akan dihadirinya pada bulan ini di Austin, Texas.

Jika dia tidak dapat menjumpai apa-apa pada masa perjalanannya, dia merancang untuk mencuci tangannya dengan lebih kerap dan “cuba untuk tidak menyentuh apa-apa.” – AP