Tuesday, May 13, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dilarang guna nama AMBD tanpa kebenaran

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Feb – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) menekankan bahawa penggunaan nama AMBD tanpa kebenaran oleh mana-mana individu, organisasi, syarikat atau institusi adalah tidak dibenarkan.

    Dalam hal ini, AMBD dalam kenyataannya, hari ini, mengingatkan orang ramai bahawa di bawah Seksyen 74A Perintah AMBD, 2010, adalah menjadi kesalahan jika menggunakan nama, simbol, reka bentuk atau gambaran AMBD yang serupa tanpa kebenaran bertulis.

    Turut menjadi kesalahan jika menggunakan nama, simbol, reka bentuk atau gambaran AMBD yang serupa atau menyerupai nama, simbol, reka bentuk atau gambaran AMBD untuk memperdaya/menipu atau menyebabkan kekeliruan atau berkemungkinan untuk memperdaya/menipu atau menyebabkan kekeliruan.

    Jika sabit kesalahan, pesalah akan didenda tidak melebihi $20,000 atau dipenjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-dua sekali.

    Orang ramai dinasihatkan untuk berwaspada apabila ditawarkan perkhidmatan pelaburan atau produk-produk kewangan melalui media sosial yang seolah-olah telah diberi kebenaran oleh AMBD dengan menggunakan nama, simbol, reka bentuk dan gambaran AMBD.

    Kenyataan turut menasihatkan orang ramai untuk hanya berurusan dengan individu atau syarikat-syarikat yang dilesenkan atau dikawal selia oleh AMBD. Senarai entiti yang dilesenkan oleh AMBD boleh diperolehi melalui laman web www.ambd.gov.bn.

    AMBD dalam kenyataannya menekankan akan terus mementingkan kestabilan kewangan Negara Brunei Darussalam dan melindungi integriti AMBD serta kepentingan orang ramai.

    AMBD juga akan terus memantau serta melaporkan sebarang aktiviti kewangan yang mencurigakan atau tidak berlesen di Negara Brunei Darussalam kepada pihak Berkuasa yang berkenaan.

    Jika mempunyai sebarang maklumat mengenai aktiviti tersebut, sila hubungi AMBD melalui talian 2380007 atau e-mel melaluifci@ambd.gov.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda