Monday, September 16, 2024
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dilema antara cinta, restu keluarga

    Semua orang pernah jatuh cinta, dicintai dan mencintai. Seperti saya, cinta pertama bagi saya adalah sesuatu yang sangat istimewa. Walaupun orang mengatakan kumbang bukan seekor, bunga bukan sekuntum tetapi apabila ibu bapa tidak merestui orang pertama yang saya sayangi, sudah tentu hati turut terseksa dan berbelah bagi.

    Saya berkenalan dengan seseorang yang begitu memahami dan menyayangi saya. Kami berkongsi banyak persamaan dan nilai yang sama dalam hidup.

    Saya percaya dia adalah pasangan yang tepat untuk saya, seseorang yang saya ingin habiskan masa depan bersama. Malangnya, ibu bapa saya mempunyai pandangan yang berbeza.

    Mereka tidak merestui hubungan ini atas beberapa alasan. Ada yang berkaitan dengan latar belakang keluarga, perbezaan budaya, dan mungkin juga persepsi mereka tentang pasangan saya.

    Walaupun saya telah mencuba untuk menjelaskan dan memperkenalkan pasangan saya kepada mereka, pandangan mereka tetap tidak berubah.

    Gambar Freepik

    Ini membuatkan saya terperangkap dalam dilema. Saya sangat menghormati ibu bapa saya dan tidak mahu mengecewakan mereka.

    Pada masa yang sama, saya percaya dalam hubungan ini dan tidak mahu melepaskan seseorang yang saya rasa sangat serasi dan memahami diri saya. Saya di antara dua dunia — satu yang memerlukan saya memenuhi harapan keluarga dan satu lagi yang memerlukan saya jujur kepada diri sendiri.

    Saya ingin bertanya kepada para pembaca yang mungkin pernah melalui situasi serupa: Bagaimana awda menangani konflik antara cinta dan tanggungjawab kepada keluarga?

    Adakah awda mempunyai pengalaman di mana ibu bapa awda akhirnya merestui hubungan setelah awda mengambil langkah-langkah tertentu? Apakah langkah-langkah tersebut?

    Saya benar-benar berada dalam dilema dan berharap dapat mendengar pengalaman serta nasihat daripada mereka yang telah melalui jalan yang sama. Apa pilihan yang awda buat, dan apakah hasilnya?

    Saya percaya dengan berkongsi cerita dan pengalaman, kita dapat membantu satu sama lain untuk membuat keputusan yang lebih baik dan mungkin, mencari jalan tengah yang membahagiakan semua pihak. Terima kasih kerana membaca dan berkongsi pandangan awda.

    Qistina

    NASIHAT DANG MP

    Terima kasih Qistina kerana berkongsi masalah awda. Dang MP percaya mungkin ramai juga pernah mengalami masalah yang sama. Konflik antara cinta dan tanggungjawab kepada keluarga memang mencabar. Awda semestinya menyayangi teman awda dan pada masa yang sama awda tidak mahu membelakangkan ibu bapa awda sendiri,

    Dang ingin mencadangkan supaya Qistina teruskan berkomunikasi dengan ibu bapa secara terbuka, jelaskan mengapa pasangan awda penting bagi awda dan bagaimana dia menyokong awda. Ceritakanlah contoh yang terperinci bagaimana dia telah membantu awda. Ceritakanlah juga bagaimana penerimaan keluarga teman awda terhadap awda.

    Dengan cara ini, lama-kelamaan mungkin ia boleh membantu mengubah pandangan mereka. Tunjukkan keseriusan awda melalui tindakan, seperti memastikan pasangan awda juga berusaha memahami keluarga awda.

    Cari penyelesaian pertengahan jika mungkin, dengan kompromi yang boleh membuat ibu bapa awda lebih selesa tanpa mengorbankan hubungan awda. Dapatkan juga pandangan atau sokongan daripada adik beradik atau rakan yang boleh dipercayai untuk perspektif luar. Fikirkan apa yang paling penting bagi awda dalam jangka panjang, adakah ia mematuhi harapan keluarga atau mengikuti hati awda.

    Ada kalanya-kadang, kesabaran dan doa juga boleh memberikan bimbingan dan ketenangan. Semoga awda dapat menemukan jalan penyelesaian yang terbaik untuk diri awda, teman dan keluarga awda. Janganlah dilupai bahawa restu ibu bapa amatlah penting dalam membina keluarga dan mendapatkannya mungkin memerlukan masa dan pengorbanan dari awda.

     

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda