Sunday, March 16, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dilema banjir kilat

    Oleh Hajah Saemah Kepli

     

    SERIA, 1 Feb – Tatkala orang lain tidur nyenyak, sebuah keluarga di Kampung Lumut Tersusun, di sini, berasa bimbang rumah mereka akan dinaiki air setiap kali turunnya hujan dan merosakkan harta benda mereka.

    Dayang Tang Siao Chieng, 51, memberitahu Media Permata hari ini, masalah banjir kilat di kawasan rumah mereka sudah dihadapi sejak beberapa tahun lalu, terutamanya sejak pembinaan sekolah yang berdekatan dengan rumah mereka di kawasan Simpang 638-39, Kampung Lumut Tersusun, di sini.

    Menurutnya, rumah yang didiami itu merupakan gantian daripada pihak kerajaan, kerana mengarahkan mereka berpindah bagi pembinaan Jalan Lebuh Raya Telisai-Lumut kira-kira 20 tahun lalu.

    Rumah papan mereka itu sudah dalam keadaan buruk dan terdapat beberapa kerosakan pada tiang, lantai dan atap yang bocor.

     “Orang lain nyenyak tidur semasa hujan turun, tetapi kami akan merasa bimbang, kerana kawasan rumah akan dinaiki air dan kejadian ini sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu.

    Keadaan banjir tanah kuning setiap kali berlaku jika hujan turun di kawasan rumah Awang Li King Siong.
    Keadaan banjir tanah kuning setiap kali berlaku jika hujan turun di kawasan rumah Awang Li King Siong.
    Awang Li King Siong dan isterinya menunjukkan paras air yang naik semasa banjir kilat setiap kali hujan turun.
    Awang Li King Siong dan isterinya menunjukkan paras air yang naik semasa banjir kilat setiap kali hujan turun.

    “Biarpun kami sudah pernah menghadapkan permohonan bantuan kepada pihak berkenaan tetapi sehingga kini belum ada usaha membantu mengatasi masalah banjir di kawasan ini,” kata Dayang Tang Siao Chieng.

    Terdapat tiga buah rumah papan lain di kawasan yang sama turut terjejas dengan air naik kira-kira dua kaki setiap kali hujan lebat biarpun hanya untuk setengah jam.

    Ketiga-tiga buah rumah itu mempunyai 15 orang penghuni warga tempatan, lima orang bagi setiap buah rumah, yang mempunyai kaitan kekeluargaan.

    Mereka telah mendiami kawasan itu sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu, tetapi tidak pernah mengalami banjir teruk seperti yang dialami kini.

    Seorang lagi ketua keluarga di salah sebuah rumah lainnya di kawasan itu, Awang Li King Siong, 53, pula memberitahu, air yang menaiki kawasan rumah mereka adalah banjir tanah kuning yang datangnya dari kawasan bukit jalan lebuh raya dan juga daripada kawasan tanah tinggi serta saluran air yang tidak lancar di longkang Kampus Politeknik Lumut, bersebelahan kawasan mereka yang juga merosakkan tanaman mereka di persekitaran halaman rumah.

    “Kawasan kami seperti terkepung oleh kedua-dua kawasan pembinaan yang tinggi dan kawasan kami menjadi rendah dan mudah ditakungi air hujan.

    “Perkara ini sudah kami adukan termasuk kepada ketua kampung di sini yang juga sudah berusaha membantu menghadapkan aduan kami kepada jabatan berkenaan. Biarpun lawatan ke kawasan kami sudah dilakukan oleh beberapa jabatan, tetapi perlaksanaan mengatasi masalah kami setakat ini belum dilakukan,” katanya.

     Manakala itu, Awang Ho Siew Ming, 27, pula terpaksa berpindah dari rumahnya kerana tiada bekalan elektrik memandangkan rumah mereka dibina tanpa pelan dan tidak dapat diluluskan untuk memasang bekalan elektrik.

    Bagaimanapun, dia masih melawat rumah mereka selain menempatkan penternakan ayam kampung di sana.

    “Jika banjir kilat berlaku, banyak ayam peliharaan kami yang mati, termasuk hari ini, beberapa ekor telah mati dan dalam kejadian banjir tahun lepas lebih 10 ekor ayam peliharaan kami mati.

    “Pada masa ini, kami sekeluarga terpaksa tinggal di berek kerajaan ekoran rumah kami tidak ada bekalan elektrik dan juga sering dimasuki air akibat banjir kilat,” katanya.

    Kawasan tanah yang mereka diami pada masa ini mempunyai geran kurniaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan sudah didiami lebih 50 tahun.

    Masalah mereka adalah tidak berkemampuan untuk membina rumah baru atau memperbaiki rumah mereka kerana hanya mempunyai pendapatan kecil selain anak-anak yang belum bekerja.

    Apa yang mereka harapkan adalah pihak berkenaan akan dapat membantu menyelesaikan masalah mereka itu dan jika tidak dapat mengatasi masalah banjir, mereka meminta untuk dipindahkan ke tempat yang lebih selamat seperti kawasan perumahan.

    “Rumah kami sudah semakin buruk, termasuk tiangnya yang semakin rosak akibat sering dinaiki air ketika hujan turun dan kami bimbang lambat laun tiang akan patah dan rumah boleh roboh.

    “Maka dengan itu besarlah harapan kami untuk pihak berkenaan dapat membantu kami,” kata Awang Li King Siong dan Dayang Tang Siao Chieng.

    Dalam kejadian banjir kilat yang berlaku pagi tadi, ketiga-tiga buah rumah ini telah dinaiki air tanah kuning dan masalah ini terus dihadapi walaupun pernah mereka usahakan untuk mengorek longkang di kawasan keliling mereka tetapi ia kembali tertimbus oleh limpahan air.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda