Jumaat, 21 November 2025
Klik Lagi

    Dilema cinta: Antara kesetiaan dan masa depan

    Saya sudah bersamanya selama sembilan tahun. Sembilan tahun yang penuh dengan suka dan duka, yang terasa seperti perjalanan yang panjang. Kami telah melalui banyak perkara bersama, dari susah hingga senang, namun satu perkara yang selalu saya tunggu-tunggu, undangan untuk melangkah ke jenjang perkahwinan yang tidak pernah tiba.

    Walaupun kami sering berbincang tentang masa depan, tiada kata putus dari mulutnya mengenai hal ini. Saya tahu dia sibuk dengan kerjanya, dan kadang-kadang saya cuba meyakinkan diri bahawa mungkin dia hanya memerlukan sedikit masa lagi. Tetapi, entah kenapa, rasa resah itu tetap ada dan kini semakin menebal.

    Namun, saya mula berasa runsing bila ada lelaki lain yang muncul dalam hidup saya.

    Seorang lelaki yang baru saya kenali, namun cara dia memperlakukan saya begitu berbeza, dia tahu bagaimana untuk membuat saya rasa dihargai.

    Baru-baru ini, dia mengungkapkan niatnya untuk meminang saya. Saya terkejut kerana dalam sekelip mata dia menawarkan sesuatu yang saya impikan selama ini, komitmen yang jelas dan pasti.

    Gambar Freepik

    Sekarang, saya berada dalam dilema yang besar. Saya telah bersamanya selama sembilan tahun, dan walaupun belum ada jaminan perkahwinan, saya masih sayang padanya.

    Namun, lelaki yang baharu ini datang dengan segala janji dan harapan untuk masa depan yang lebih pasti. Saya takut untuk membuat pilihan yang salah. Adakah saya terlalu terburu-buru untuk menerima pinangan ini?

    Saya resah. Tidak tahu apa yang harus saya pilih. Saya tidak mahu menyesal, tetapi saya juga tidak mahu mengabaikan kebahagiaan saya. Begitu banyak persoalan yang berlegar di fikiran saya, dan saya hanya berharap saya dapat membuat keputusan yang tepat tanpa menghancurkan hati sesiapa.

    Amalina

    NASIHAT DANG MP – 

    Situasi yang awda alami adalah satu dilema yang sangat mencabar perasaan dan pertimbangan. Sembilan tahun bukan tempoh yang singkat. Ia menunjukkan kesetiaan dan pengorbanan yang besar. Namun, apabila satu hubungan tidak berubah ke arah yang lebih serius walaupun setelah sekian lama, adalah normal untuk timbul rasa ragu dan kecewa.

    Kehadiran lelaki baharu yang menunjukkan kesungguhan dan memberi rasa dihargai membuka mata dan hati awda terhadap satu peluang baharu. Satu peluang untuk awda benar-benar bahagia dan dihargai sepenuhnya. Ini bukan bermaksud kamu tidak setia, tetapi ia menunjukkan awda mula menyedari nilai diri dan hak awda untuk mendapat masa depan yang jelas.

    Namun begitu, keputusan seperti ini tidak seharusnya dibuat dalam keadaan tergesa-gesa.

    Luangkan masa untuk menilai kedua-dua hubungan ini dengan tenang: apakah yang benar-benar awda inginkan dalam hidup dan siapa yang lebih sesuai dan serasi untuk masa depan awda?

    Tanya pada diri sendiri, adakah awda masih menunggu kerana cinta atau kerana takut melepaskan kebiasaan? Dan adakah lelaki baharu ini benar-benar memahami dan sanggup menerima seluruh dirimu? Cukupkah masa untuk awda mengenali hati budinya.

    Kebahagiaan awda penting. Jangan buat keputusan hanya untuk tidak melukakan hati orang lain kerana akhirnya nanti, hati awda yang sepatutnya perlu dijaga. Berkongsilah perasaan dan tanya pendapat pada orang yang awda percayai seperti keluarga atau rakan baik untuk menolong awda membuat keputusan. Apa yang pasti adalah seseorang berhak menentukan masa hadapannya dan juga berhak membuat pilihan terbaik dalam hidupnya meskipun kadangkala melukakan perasaan orang lain.

    Kata Kunci

    Popular

    Nasional

    BMC anjur kempen derma darah

    36 individu ditahan dalam Ops Tapis di Sibu

    Lukisan Frida Kahlo dilelong AS$54.6 juta

    Berita Berkaitan

    Cadangan lampu trafik di Pusing Keliling Pengiran Babu Raja

    Baru-baru ini, saya melalui Pusing Keliling Pengiran Babu Raja...

    Meja makan kosong, hati penuh sepi

    Kadang-kadang saya tertanya, bagaimana rasanya hidup dalam keluarga yang...

    Tidak sempat hargai kasih nenek

    Assalamualaikum, saya nak cerita sedikit tentang rasa penyesalan yang...

    ‘BFF’ jadi madu

    Aku tak pernah sangka, orang yang paling aku percaya,...

    Terkini

    BMC anjur kempen derma darah

    Oleh Salawati Haji Yahya BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV –...

    36 individu ditahan dalam Ops Tapis di Sibu

    SIBU, 21 NOV - Polis Daerah Sibu berjaya menahan...

    Lukisan Frida Kahlo dilelong AS$54.6 juta

    NEW YORK, 21 NOV – Sebuah potret diri oleh...

    Gempa bumi magnitud 5.5 landa Bangladesh

    DHAKA, 21 NOV — Gempa bumi dengan magnitud awal...