Dilema dan sengsara hantui pelarian perang Yaman

HAJJAH, YAMAN – Di sebuah kem bagi para pelarian akibat perang di wilayah barat daya Yaman, Hajjah, ayah kepada Mazen menghadapi pilihan yang menyakitkan.

Haruskah menggunakan sedikit wang hasil jualan tanah kecilnya untuk merawat Mazen yang sakit parah dan menyelamatkan nyawanya atau untuk membeli makanan dan menyelamatkan nyawa 10 orang ahli keluarganya?

Mazen berusia enam tahun menderita hidrosefalus dan kekurangan zat makanan akut kerana kakinya yang seperti tongkat tidak bermaya sehingga dia tidak dapat berjalan lagi.

Berbaring di atas katil kayu di pondok keluarganya di Bani Hassan di daerah Abs, Mazen terus menatap lantai pasir seolah-olah matanya yang bengkak dapat menggali lubang untuk melepaskan diri dari penderitaan yang teruk.

“Pada awal tahun 2015, hanya beberapa minggu setelah perang meletus, saya membawanya ke hospital di wilayah jiran Hodeidah dan kemudian kami pergi ke ibu kota Sanaa, di mana sebuah hospital mengenakan bayaran sebanyak AS$13,000 untuk merawat anak saya,” Ibrahim Kidysh memberitahu media.

Ibrahim Kidysh memegang kaki anaknya, Mazen. – Xinhua
Mazen berusia enam tahun mende-rita hidrosefalus dan kekurangan zat makanan akut di daerah Abs, Wilayah Hajah, Yaman. – Xinhua

Mazen berbaring di atas katil kayu di pondok keluarganya di daerah Bani Hassan di daerah Abs. – Xinhua

“Saya tidak memiliki wang sebanyak itu, maka saya kembali bersama anak saya ke kampung kami untuk menjual tanah pertanian saya dan cuba mendapatkan wang… tetapi harganya sangat rendah,” katanya.

Tidak jauh dari pondok keluarga Mazen, sebuah hospital kecil menyediakan beberapa perkhidmatan kesihatan untuk pelarian dan penduduk kampung.

“Cairan di tengkorak Mazen semakin meningkat pada waktu malam dan siang dan dia sangat memerlukan pembedahan untuk menyelamatkan nyawa-nya, yang tidak ada di sini,” kata Mohammed Saif, seorang doktor, kepada media.

Sebahagian wilayah utara Hajjah, termasuk daerah Abs, berada di bawah pemerintahan pasukan kerajaan, sementara pemberontak Houthi menguasai sebahagian besar wilayah tersebut.

Yaman telah hancur dalam perang saudara sejak akhir 2014, ketika kumpulan Houthi yang disokong Iran merebut sebahagian besar wilayah utara negara itu dan memaksa kerajaan Presiden Abd-Rabbu Mansour Hadi yang disokong oleh Arab Saudi keluar dari ibu kota Sanaa.

Perang, yang telah berlangsung lebih dari lima tahun, telah membunuh puluhan ribu orang, kebanyakannya orang awam dengan pelarian perang kini mencecah lebih 3 juta orang.

Keluarga Mazen yang terdiri daripada 10 orang ahli hanyalah satu daripada 1,200 pelarian yang hidup dalam keadaan daif di bahagian utara Wilayah Hajjah, menurut pihak berkuasa tempatan di Abs.

Konflik telah menyebabkan keruntuhan sistem kesihatan dan pertanian Yaman, mencetuskan apa yang digambarkan oleh PBB sebagai krisis kemanusiaan terburuk di dunia.

Agensi bantuan PBB menganggarkan bahawa lebih daripada 20 juta orang Yaman hanya berjarak satu langkah daripada kebuluran dan hampir 80 peratus penduduk bergantung sepenuhnya kepada bantuan kemanusiaan antarabangsa untuk bertahan hidup.

Pada bulan Julai, UNICEF memberi amaran bahawa jumlah kanak-kanak yang kekurangan zat makanan di Yaman boleh meningkat kepada 2.4 juta pada akhir tahun ini dengan kekurangan dana kemanusiaan.

“Kami telah tinggal dengan selamat di rumah kami di daerah Haradh, tetapi kehidupan kami berubah beberapa bulan setelah berlaku pertempuran yang ganas… Kami meninggalkan segalanya dan lari untuk menyelamatkan nyawa,” ayah Mazen meratap.

Ibu Mazen mengatakan bahawa penyakit anaknya muncul lima tahun yang lalu ketika dia demam akut dan mereka tidak dapat membawanya ke hospital kerana pertempuran di sekitar kampung antara pasukan kerajaan dan Houthi.

“Sejak itu saya perhatikan bahawa ukuran kepalanya membesar secara tidak normal dan kesihatannya merosot,” katanya kepada media. – Xinhua