NEW YORK – Seorang bapa tunggal di New Jersey mengambil cuti tidak berbayar dari tugasnya sebagai pembuat roti disebabkan beliau tidak mempunyai sesiapa untuk menjaga anak lelakinya.
Seorang pekerja universiti di New York sedar beliau mungkin tidak akan kembali ke pejabat selepas pusat jagaan anak untuk anak perempuannya yang menghidapi autistik ditutup buat selama-lamanya. Seorang ibu baharu di Utah menggunakan masa cuti untuk mengambil dua jam waktu rehat kerja setiap hari.
Pandemik koronavirus mencetuskan krisis jagaan anak yang mengancam menjejas pembukaan semula ekonomi AS. Lebih satu pertiga daripada keluarga melaporkan seseorang perlu tinggal di rumah untuk menjaga anak mereka disebabkan wabak, menurut tinjauan di seluruh negara oleh Institut Urban, kumpulan penyelidikan dasar ekonomi.
Sekolah awam di kebanyakan negeri ditutup untuk tahun akademik yang berbaki. Banyak kem tidak akan dibuka pada musim panas ini. Beribu-ribu pusat jagaan harian juga ditutup, kebanyakan mereka mengikut jejak langkah sekolah daerah, sementara sesetengahnya masih dibuka hanya untuk anak pekerja penting. Dan rangkaian tidak formal saudara dan kawan yang menjadi tempat bergantung untuk ibu bapa telah berkecai dalam dunia penjarakan sosial.
Dan Cappilla tidak mempunyai pilihan melainkan mengambil cuti tidak berbayar dari kerjanya sebagai pembuat roti di ShopRite di Manahawkin, New Jersey.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2020/06/page-21-A_02062020.jpg)
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2020/06/page-21-B_02062020.jpg)
Sebelum pandemik, ibu bapanya bergilir-gilir menjaga anak lelakinya berusia 7 tahun, Gavin pada waktu malam. Namun beliau bimbang mendedahkan mereka kepada virus, terutamanya sejak mereka tinggal bersama neneknya yang berusia 90 tahun.
Pengurusnya menawarkannya kerja waktu siang, tetapi dengan sekolah ditutup, ia tidak membantu. Cappilla perlu tinggal di rumah pada waktu siang untuk membimbing anak lelakinya dalam pembelajaran dalam talian. Tidak mampu membayar sewa pada bulan depan, Cappilla akan bertahan untuk musim panas, apabila persekolahan tidak menimbulkan masalah dan beliau berharap virus akan beransur hilang untuk membolehkan ibu bapanya pulang ke rumah.
“Tangan saya terikat,” kata Cappilla. “Saya tidak mempunyai pelan yang kukuh.”
Keadaan yang tidak pasti akan bertahan selama beberapa bulan. Pegawai sekolah dari New York hingga Chicago telah berkata pembelajaran dalam talian mungkin diteruskan sekurang-kurangnya sehingga tahun akademik depan.
Persatuan Kebangsaan untuk Pendidikan Kanak-Kanak, sebuah pertubuhan pembelajaran awal profesional, menganggarkan separuh daripada pembekal jagaan kanak-kanak negara dalam negara telah ditutup. Satu kajian oleh NAEYC dan Pusat Perkembangan Amerika, sebuah kumpulan pemikir liberal, meramalkan 4.5 juta slot jagaan kanak-kanak menghadapi risiko hilang tanpa bantuan.
KinderCare, pembekal jagaan kanak-kanak swasta terbesar di negara dengan hampir 1,600 lokasi, berkata ia kehilangan 90 peratus daripada perniagaannya apabila perintah berkurung dan peraturan penjarakan sosial dikuatkuasakan.
Syarikat yang berpangkalan di Portland, Oregon itu pada mulanya menutup kesemua kecuali 450 pusatnya, yang dibiarkan buka untuk memenuhi keperluan anak-anak pekerja penting. Ia berharap untuk membuka semula kebanyakan pusat pada Jun.
“Kami akan berada dalam dunia yang sensitif ini sekurang-kurangnya sehingga kami mendapat vaksin,” kata CEO Tom Wyatt. “Kami perlu membiasakan diri dengan situasi berkenaan.”
Ahli Kongres Demokrat sedang memperkenalkan undang-undang untuk memperuntukkan AS$50 bilion bertujuan membantu pembekal jagaan anak menghapus kos pembukaan pusat dengan selamat, termasuk memperoleh peralatan perlindungan dan kemungkinan mendaftar kurang kanak-kanak demi memenuhi garis panduan keselamatan. Prospek kelulusan masih tidak jelas, tetapi dua senator Republikan, Joni Ernst dari Iowa dan Kelly Loeffler dari Georgia, telah menggesa pakej bantuan pandemik memasukkan AS$25 bilion untuk industri jagaan kanak-kanak.
Kongres telah pun memperuntukkan AS$3.5 bilion untuk industri jagaan kanak-kanak di bawah rang undang-undang bantuan pandemik yang diluluskan pada Mac, tetapi bantuan sampai kepada pembekal dengan perlahan. Ramai juga telah bergelut untuk melayakkan diri mendapatkan pinjaman di bawah program perlindungan gaji berasingan.
Laurie Fletcher, yang mengendali pusat jagaan di rumahnya di Michigan, telah melihat pendapatannya merosot sejak kerajaan negeri mengarahkan pusat jagaan harian ditutup kecuali untuk anak-anak pekerja penting. Namun beliau tidak dapat menerima perlindungan gaji disebabkan beliau kekurangan akaun perniagaan dan berakhir memecat pembantu sepenuh masa beliau.
“Kami pada asasnya membayar untuk memastikan pusat jagaan dibuka untuk pekerja penting,” kata Fletcher.
Lebih daripada 330,000 pekerja jagaan kanak-kanak telah kehilangan kerja mereka sejak Mac, menurut Biro Statistik Pekerja AS.
“Orang akan mendapati jika tidak adanya sistem jagaan anak untuk mereka, mereka tidak mungkin akan kembali bekerja,” kata Catherine White, pengarah penjagaan anak dan pembelajaran awal di Pusat Undang-Undang Wanita Nasional, yang menyokong satu gabungan yang terdiri daripada lebih 500 pembekal jagaan anak dan penyokong dalam meluluskan rang undang-undang bantuan berjumlah AS$50 bilion.
“Wanita terutamanya akan menanggung kesan,” tambah White, mendapati walaupun sebelum pandemik, ibu-ibu lebih cenderung berbanding bapa untuk meninggalkan tenaga kerja disebabkan kesukaran menjaga anak. “Wanita membentuk separuh daripada tenaga kerja. Apakah kesan tersebut kepada ekonomi kami jika wanita tidak dapat kembali bekerja?”
Samantha Shlimbaum, pengurus program di Universiti Pace di New York, sedang bergantung pada kefleksibelan majikannya. Beliau merasa sedih apabila mendapat tahu mengenai penutupan pusat selepas sekolah yang menjaga anak perempuannya yang berusia tiga tahun. Ia adalah satu-satunya yang bersetuju untuk menerima Nina, yang autistik dan menghadiri sekolah tadika untuk kanak-kanak berkeperluan khas.
Dengan sekolah tadika juga ditutup, Shlimbaum kini bekerja dari rumah sementara menjaga anak perempuannya, yang juga memerlukan terapi pertuturan. Suaminya membantu, tetapi beliau akan kembali bekerja sebagai ejen harta tanah pada akhirnya.
“Saya tidak dapat duduk di depan kunci kira-kira dan memastikan ia betul 100 peratus. Perhatian saya terganggu dengan anak-anak saya di sekeliling saya,” kata Shlimbaum. “Kami mungkin boleh tinggal bersama keluarga untuk seketika, tetapi di luar itu, keadaan tetap tidak berubah.”
Masalah keradangan yang serius dalam kanak-kanak yang dikaitkan dengan koronavirus juga memburukkan masalah penjagaan kanak-kanak.
Sindrom tersebut mempen-garuhi keputusan Gabenor New York Andrew Cuomo untuk tidak membuka semula sekolah musim panas dan menyebabkan ibu bapa berasa terseksa sama ada adalah selamat untuk menghantar anak-anak mereka ke pusat jagaan harian. – AP