Wednesday, February 5, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dilema memilih warna

    Oleh Raz AS –

    Sehingga ke hari ini persoalan mengenai adakah ikan dapat melihat warna masih belum terjawab sepenuhnya.

    Sukar bagi saintis untuk memastikan dan mempelajari sepenuhnya apakah yang dilihat oleh mata ikan dan imej yang masuk ke otaknya.

    Bagaimanapun beberapa kajian yang telah dijalankan oleh saintis menunjukkan bahawa sensor penglihatan ikan berbeza di antara spesies dan juga lokasinya. Seperti contoh, terdapat kajian yang mengatakan bahawa spesies ikan yang menghuni kawasan pesisir (inshore) mempunyai kebolehan melihat warna yang baik, manakala spesies ikan luar pantai (offshore) hanya melihat warna yang terhad selain warna hitam dan putih.

    Pemilihan warna lure merupakan dilema yang menghantui kebanyakan pemancing. Sering kali kedengaran soalan dilemparkan oleh pemancing terutama yang baharu ditujukan kepada pemancing-pemancing yang lebih otai, “warna apa bisai?.”

    Pertama sekali adalah pilihan lure untuk keadaan padang pancing yang mempunyai air yang jernih. Untuk kawasan perairan yang jernih, dalam membuat pilihan selalunya penulis akan menggunakan lure yang mempunyai warna natural. Ini bermakna lure yang dipilih mempunyai warna yang menyerupai anak ikan, krustasea atau mangsa yang dijadikan diet utama ikan yang terdapat di sana.

    Pemilihan warna lure merupakan dilema yang menghantui kebanyakan pemancing.-Gambar oleh Badangling
    Warna terang seperti merah dan jingga lebih mudah hilang apabila cahaya kurang menembusi air, sama ada disebabkan faktor kedalaman atau tahap kejernihannya.- Gambar oleh Greg Vinall

    Kedua, kondisi air yang keruh. Di kawasan yang mempunyai perairan yang keruh seperti warna teh o atau teh tarik, penulis lebih gemar menggunakan lure berwarna gelap.

    Mungkin kedengaran aneh kerana sesetengah pemancing otai mengatakan air keruh patut dipadankan dengan penggunaan lure yang mempunyai warna yang terang seperti warna jingga dan merah agar ia mudah dilihat oleh ikan.

    Namun begitu, percaya atau tidak, lure berwarna gelap seperti hitam, ungu dan biru tua lebih kelihatan di dalam air keruh berbanding warna jingga dan merah yang sebenarnya paling cepat hilang.

    Ini adalah disebabkan proses penapisan panjang gelombang cahaya oleh air. Seperti mana yang kita ketahui dan pelajari di alam persekolahan bahawa warna sebenarnya adalah pantulan cahaya yang memasuki mata dan diproses oleh otak. Semakin terhad cahaya memasuki air sama ada disebabkan faktor kedalaman atau kejernihannya. Semakin pudarlah warna yang kelihatan.

    Ketiga, kondisi cahaya terang. Semasa matahari tegak di atas kepala, penulis lebih gemar menggunakan lure berwarna metalik atau berkilat seperti krom, emas metalik atau mempunyai glitter di kawasan perairan yang cetek atau untuk lure aksi permukaan dan selaman cetek.

    Warna-warna seperti ini akan menghasilkan kesan pantulan cahaya yang menyerupai anak-anak ikan yang bermain di kawasan permukaan air.

    Akhir sekali, kondisi cahaya rendah atau kelam. Pada waktu kondisi cahaya rendah seperti pada waktu malam, selalunya pemilihan warna lure adalah sama seperti lure yang penulis gunakan semasa air keruh iaitu lure berwarna gelap. Lure berwarna gelap akan menghasilkan bebayang kontras di bawah cahaya bulan atau lampu jika dilihat dari bawah.

    Tetapi penggunaan lure yang glow in the dark dan berbadan solid juga boleh membuahkan hasil. Sebolehnya elakkan daripada menggunakan lure yang mempunyai badan lutsinar (transparent).

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda