Sunday, May 11, 2025
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dilengkapi teknologi kamera terkini

    HUAWEI P30 Pro dan Huawei P30 akhirnya telah dilancarkan pada satu acara di Paris, Selasa lalu di samping jam tangan pintar Watch GT Elegant dan Watch GT Active.

    Syarikat telekomunikasi gergasi China itu berkata bahawa Huawei P30 dan Huawei P30 Pro adalah ‘telefon pintar kamera paling canggih setakat ini’ dan didatangkan dengan sensor SuperSpectrum keluaran syarikat itu, lensa zum optik dan kamera time-of-flight (ToF) baharu.

    Bagi spesifikasinya, P30 dan P30 Pro menggunakan Android 9 Pie dengan antara muka EMUI 9.1, didatangkan dengan sambungan dwi-SIM dan dwi VoLTE serta paparan hampir tanpa bezel dengan takuk berbentuk titisan embun.

    Huawei P30 Pro menonjolkan skrin OLED full-HD+ (1080×2340 piksel) bersaiz
    6.47 inci dengan nisbah bidang 19.5:9 sementara itu, P30 didatangkan dengan paparan OLED full-HD+ (1080×2340 piksel) bersaiz 6.1 inci dengan nisbah bidang 19.5:9. Di bawah panelnya, terdapat sensor cap jari dalam paparan.

    Selain itu, skrin P30 Pro juga didatangkan dengan Teknologi Acoustic Display yang menggunakan pembesar suara maglev dalam skrin untuk menukar paparannya menjadi pembesar suara seperti telefon pintar LG G8 ThinQ.

    Huawei P30 Pro (ATAS) dan Huawei P30 (BAWAH) dilancarkan dengan pelbagai ciri kamera yang canggih termasuk sensor SuperSpectrum dan kamera ToF.

    Huawei Watch GT Active (KIRI) mempunyai saiz 46mm dengan lensa 1.39 inci manakala itu, Huawei Watch GT Elegant (KANAN) pula lebih kecil pada 42mm dengan lensa 1.2 inci.

    Kedua-dua peranti dikuasakan SoC lapan teras Kirin 980 (7nm) dengan GPU Mali-G76. Sebagai tambahan kepada lapan teras CPU, Kirin 980 juga didatangkan dengan dua unit pemprosesan neural (NPUs) untuk membantu dalam tugas-tugas pembelajaran mesin termasuk pengecaman imej lebih pantas.

    Huawei P30 mengetengahkan RAM 6GB dan storan 128GB, sementara itu, P30 Pro terdapat dalam RAM 8GB dengan pilihan storan 128GB, 256GB atau 512GB.

    Huawei P30 dilengkapi bateri 3,650mAh manakala itu, Huawei P30 Pro mempunyai bateri 4,200mAh dan persijilan IP68.

    Huawei P30 Pro juga mempunyai sokongan pengecasan tanpa wayar dan didatangkan dengan teknologi pengecasan wayarles terbalik. Kedua-dua peranti juga menyokong teknologi Super Charge 40W.

    Huawei menyatakan bahawa mereka juga telah menambah sistem penyejukan lapisan graphene untuk mengawal kepanasan pada kedua-dua model.

    Daripada segi keupayaan pengimejannya, Huawei telah melengkapkan P30 Pro dengan empat kamera iaitu kamera utama 40MP dengan sensor Huawei SuperSpectrum 1/1.7-inci dan lensa f/1.6 (27mm); kamera sudut ultra lebar 20MP dengan lensa f/2.2 (16mm); kamera telefoto 8MP dengan lensa f/3.4 (125mm) dan kamera ToF.

    Selain itu terdapat dwi OIS, sensor Colour Temperature dan Flicker. Kameranya juga mempunyai keupayaan zum optik 5x, hibrid 10x dan digital 50x.

    Huawei P30 pula tidak mempunyai kamera ToF, sebaliknya dilengkapi sensor sudut ultra lebar 40MP dengan lensa f/1.8 (27mm), sensor sudut ultra lebar 16MP dengan lensa f/2.2 (17mm) dan sensor 8MP dengan lensa telefoto (80mm) yang menampilkan apertur f/2.4.

    Model ini juga didatangkan dengan Laser Transmitter dan Laser Receiver bagi keupayaan fokus dan denyaran LED yang dipertingkatkan.

    Kehadiran Sensor Super-Spectrum pada kedua-dua telefon pintar membolehkan rating ISO maksium pada 204,800 (bagi Huawei P30) dan 409,600 (Huawei P30 Pro), menurut syarikat berkenaan.

    Bagi swafoto, Huawei P30 dan P30 Pro menonjolkan kamera 32MP dengan lensa f/2.0. Kedua-duanya juga mempunyai AI HDR+ untuk mengoptimumkan swafoto terlebih dedah dan cahaya belakang.

    Huawei juga melengkapkannya dengan ciri-ciri seperti Portrait Against Backlight dan AIS (Artificial Intelligence Stablisation).

    Untuk mengambil video, Huawei P30 didatangkan dengan mod Dual-View Video yang direka untuk merakam sudut lebar dan pandangan jarak dekat pada masa yang sama.

    Huawei Watch GT Elegant Edition & Active Edition

    Pada acara yang sama, Huawei juga telah memperkenalkan tambahan barisan jam tangan pintar Watch GT keluarannya iaitu Elegant Edition dan Active Edition.

    Sementara edisi Active didatangkan dengan saiz 46mm yang sama seperti edisi-edisi sebelumnya (Watch GT Classic Edition dan Sport Edition), edisi Elegant mempunyai saiz yang lebih kecil pada 42mm.

    Watch GT Active Edition didatangkan dengan paparan AMOLED HD bersaiz 1.39 inci dengan resolusi 454×454 piksel, manakala itu, Watch GT Elegant Edition pula mempunyai paparan AMOLED HD 1.2 inci dengan resolusi 390×390 piksel.

    Kedua-dua edisi baharu ini didatangkan dengan mod Triathlon yang membolehkan pengesanan aktiviti berenang di air terbuka, berbasikal dan berlari di kawasan luar.

    Huawei mendakwa bahawa mod yang mereka bangunkan itu juga akan terdapat pada edisi Classic dan Sport sedia ada menerusi kemas kini perisian.

    Untuk memberikan rekaan premium kepada pengguna, edisi Elegant didatangkan dalam pilihan warna Magic Pearl White dan Tahitian Magic Black Pearl.

    Seperti model-model sebelumnya, Huawei Watch GT Active Edition dikatakan menawarkan jangka hayat bateri dua minggu pada sekali cas. Ia juga didatangkan dengan GPS, GLONASS dan GALILEO bagi pengesanan lokasi yang tepat.

    Manakala itu, Watch GT Elegant Edition didatangkan dengan jangka hayat bateri seminggu dengan pengawasan kadar denyut jantung dipasang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda