MADRID, 3 JULAI – Penyerang Liverpool, Diogo Jota dan abangnya maut dalam kemalangan jalan raya di Sepanyol hari ini, menurut pihak polis, hanya beberapa minggu selepas bintang Portugal itu melangsungkan perkahwinan, sekali gus mencetuskan kesedihan meluas.
Pengawal Awam Sepanyol memaklumkan sebuah kenderaan telah terbabas dari lebuh raya sebelum terbakar tidak lama selepas tengah malam di kawasan perbandaran Cernadilla, wilayah Zamora di barat laut negara itu. Pihak polis mengesahkan kematian Jota, 28, dan abangnya, Andre Silva.
“Siasatan awal menunjukkan letupan tayar berlaku semasa kenderaan itu cuba memotong,” kata Pengawal Awam dalam satu kenyataan, sambil menambah mayat kedua-duanya telah dibawa ke bilik mayat.
Media tempatan turut menyiarkan rakaman video yang menunjukkan serpihan dan sisa rentung kenderaan yang dikenalpasti sebagai Lamborghini milik Jota di tepi lebuh raya.
Legenda bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo memberikan penghormatan kepada Jota menerusi platform X, menyifatkan kematian itu sebagai sesuatu yang ‘tidak masuk akal’ hanya beberapa minggu selepas Jota berkahwin dan menjulang kejuaraan Liga Negara-negara UEFA bersama pasukan kebangsaan.


“Kami semua akan merindui awak,” tulis Ronaldo.
Presiden Persekutuan Bola Sepak Portugal, Pedro Proenca berkata beliau amat berdukacita, menyifatkan Jota sebagai ‘seorang insan luar biasa, dihormati rakan sepasukan dan juga lawan, seorang yang penuh dengan keceriaan, serta menjadi rujukan kepada komuniti asalnya.’
“Kita telah kehilangan dua juara. Kematian Diogo dan Andre Silva merupakan kehilangan yang tidak dapat diganti untuk bola sepak Portugal dan kami akan berusaha sedaya upa-ya untuk menghormati legasi mereka setiap hari,” tulis Proenca di media sosial.
Dia turut memaklumkan bahawa pihaknya telah meminta UEFA bertafakur selama satu minit sebelum perlawanan Kelayakan Euro Wanita 2025 antara Portugal dan Sepanyol yang berlangsung di Switzerland hari ini.
Liverpool dalam satu kenyataan berkata mereka amat berdukacita atas kehilangan yang ‘tidak dapat dibayangkan’ itu dan enggan mengulas lanjut demi menghormati privasi keluarga, rakan-rakan, rakan sepasukan serta kakitangan kelab.
“Kami akan terus memberikan sokongan penuh kepada mereka,” tambah kenyataan itu.
Menurut laporan media Britain, para penyokong Liverpool telah mula meletakkan bunga, selendang dan pelbagai penghormatan lain di Stadium Anfield sebagai tanda penghargaan terakhir. – AFP