Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dior kembali santai, kontemporari

    PARIS – ‘Dior mania’ melanda Minggu Fesyen Paris koleksi busana lelaki baru-baru ini apabila lebih 1,000 peminat memenuhi Place de la Concorde untuk melihat bintang-bintang kegemaran mereka.

    Tetamu VIP pertunjukan termasuk David Beckham, Naomi Campbell dan ahli kumpulan Korea BTS, J-Hope dan Jimin.

    Di dalam, pereka pakaian lelaki Dior, Kim Jones, memberikan penghormatan kepada Yves Saint Laurent, yang menjadi pereka couture termuda di dunia pada usia 21 tahun pada 1957 setelah kematian Christian Dior.

    Pada tahun 1958, Saint Laurent mempersembahkan koleksi pertamanya untuk Christian Dior. Ia adalah satu acara global yang menyaksikan pereka tersebut menarik beribu-ribu peminat yang memenuhi jalan-jalan.

    Beberapa perkara tidak pernah berubah, walaupun dalam tempoh 65 tahun.

    Kim Jones menggunakan koleksi wanita itu sebagai inspirasi untuk koleksi pakaian lelakinya – mencerminkan kontras antara maskulin dan feminin, serta pakaian British berbanding couture.

    Jones juga menggunakan perubahan koleksi tersebut untuk menghasilkan pakaian gender-neutral dengan bentuk yang lembut dan pinggang yang longgar.

    Baju sut yang terbuka mendedahkan siluet trapezium yang cantik, seperti sweater rajutan putih dengan lengan yang dipotong seperti poncho.

    Semasa pertunjukan Saint Laurent, beliau meninggalkan fesyen pinggang ketat dan kain yang panjang rekaan Dior, sebaliknya memilih bentuk yang lebih lembut dan mencipta semula siluet trapezium yang popular.

    Namun, pertunjukan tersebut adalah lebih daripada sekadar penghormatan semata-mata. Kasut bercetak tiga dimensi menyusuli rompi organza nipis yang bersifat kontemporari dengan jalur bertingkat, dan kelihatan agresif namun feminin. Pakaian yang dipotong melepasi bahu pada satu kot berhias mutiara pada masa yang sama membangkitkan imej santai dan bunga yang sedang mekar.

    Gabungan unik selebriti, kesenian, kecantikan dan bau minyak wangi pada pertunjukan Dior benar-benar menarik perhatian peminat fesyen. Ia bermula dengan persembahan filem yang luar biasa oleh pelakon Gwendoline Christie dan Robert Pattinson yang membacakan petikan-petikan puisi, diselitkan dengan gambar-gambar koleksi Dior.

    “Saya amat gembira berada di sini pada pertunjukan Dior,” kata Christie kepada AP. “Tidak menghairankan Kim Jones merupakan salah seorang daripada pereka terhebat masih hidup yang kita ada masa ini. Saya juga sangat bertuah kerana dia adalah seorang teman lama saya.”

    Bahkan Christie, bintang pertunjukan Dior dan ‘Game of Thrones,’ kelihatan terharu apabila wartawan meninggalkannya dalam sekelip mata sebaik sahaja Jimin dari BTS tiba, yang baru-baru ini diumumkan sebagai duta jenama Dior. – AP

    ATAS & BAWAH: Model-model memperagakan koleksi Christian Dior musim luruh/sejuk 2023 semasa Minggu Fesyen Paris di Paris baru-baru ini. – Gambar AP

     

     

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda