Monday, January 6, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dipaksa lakukan 368 tekan tubi, pelajar dimasukkan ke hospital

    TEXAS, 3 JAN – Sebuah pasukan yang terdiri daripada pelajar Sekolah Menengah Texas disaman kerana didakwa memaksa pemain untuk melakukan 368 tekan tubi dalam masa satu jam semasa sesi latihan yang sukar sehingga membahayakan nyawa.

    Bekas jurulatih Sekolah Menengah Rockwall-Heath, John Harrell dan 12 orang penolong jurulatih dituduh memaksa pemain football junior untuk melakukan hampir 400 tekan tubi tanpa rehat dan tidak membenarkan rehat untuk minum dalam sesi latihan selama 50 minit sehingga menyebabkan beberapa orang pemain dimasukkan ke hospital selama beberapa hari.

    Menurut tuntutan mahkamah yang difailkan oleh salah seorang ibu bapa pemain, berpuluh-puluh pemain dihukum atas kesilapan yang mereka buat semasa latihan dengan 16 tekan tubi bagi setiap kesalahan.

    Para pemain dikesan melakukan 23 kesalahan, jadi mereka dihukum untuk melakukan 368 tekan tubi secara keseluruhan, lapor Oddity Central.

    Susulan daripada latihan yang melelahkan itu, 26 orang didiagnosis dengan atau mempunyai gejala rhabdomyolysis, masalah kesihatan yang berpotensi membawa maut yang menyebabkan tisu otot pecah dan memasuki aliran darah.

    Gejala rhabdomyolysis biasanya muncul dalam masa 24 hingga 48 jam selepas melakukan senaman berlebihan, yang boleh mengakibatkan kerosakan otot yang melampau.

    Sekiranya tidak dirawat, ia boleh mengakibatkan kegagalan buah pinggang, masalah jantung dan juga kematian.

    Harrell telah digantung daripada bertugas selepas sesi latihan yang kontroversi dan meletak jawatan dua minggu kemudian. Walaupun tiada dakwaan jenayah yang pernah difailkan terhadapnya, bekas jurulatih itu dilaporkan menyelesaikan dua tuntutan mahkamah dengan ibu bapa lain yang anak-anaknya terjejas oleh latihan itu. – Agensi

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda

    City benam West Ham