Dipaksa tulis maaf 500 kali

MUMBAI, 13 APRIL – Seramai 10 pelancong yang melanggar arahan perintah berkurung di sebuah pekan dipopularkan kumpulan The Beatles, di India diarahkan menulis perkataan meminta maaf sebanyak 500 kali oleh polis tempatan.

Perintah berkurung seluruh India dilaksanakan sejak akhir Mac lalu, dengan penduduk hanya dibenarkan meninggalkan kediaman hanya untuk perkara penting, seperti membeli barangan dapur atau ubatan.

Menurut laporan DailyMail, semua pelancong tersebut berasal dari Mexico, Australia, Israel dan Austria ditangkap ketika sedang berjalan di pekan Rishikesh, utara India, lokasi kumpulan Beatles mendapatkan ketenangan rohani di sebuah ashram pada 1968.

Pegawai polis tempatan, Vinod Sharma, berkata mereka diarahkan menulis ‘saya tidak mematuhi arahan perintah berkurung dan meminta maaf’ sebanyak 500 kali.

Lebih 700 pelancong dari Amerika Syarikat (AS), Australia, Mexico dan Israel yang menetap di kawasan terbabit didapati tidak mengendahkan arahan perintah berkurung itu, kata Sharma sambil menambah, hukuman luar biasa berkenaan dibuat untuk memberi pengajaran kepada mereka. – Agensi