KUALA BELAIT, 22 JULAI – Kegembiraan menyambut Hari Raya Aidilfitri bertukar suram bagi pasangan suami isteri di Kuala Belait apabila mereka mendakwa kediaman mereka di flat kerajaan, di sini, dipecah masuk pada hari raya kedua.
Pasangan yang tidak mahu dikenali itu, memberitahu pada malam kejadian, mereka sedang menyambut Hari Raya di Bandar Seri Begawan bersama keluarga dan sanak saudara yang lain.
“Apabila kami pulang dan sampai sekitar pada petang esok (Isnin) harinya, kami mendapati beberapa barang bernilai seperti duit simpanan, laptop Macbook Pro, kamera DSLR, telefon bimbit Nokia X5, dan Wifi Portable hilang dari salah sebuah bilik,” ujar si isteri.
Beliau yang merupakan kakitangan kerajaan, memberitahu mereka berasa hairan apabila pintu depan flat tidak berkunci dan apabila memasuki rumah mendapati tingkap dapur telah dibuka dari luar dan suaminya mengesyaki pencuri masuk dari sana.
Terkejut dengan kejadian itu, mereka segera membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Belait.
Bagi memantapkan lagi keselamatan, pasangan itu kemudiannya menaik taraf kunci keselamatan mereka pada pintu dan tingkap dapur.
“Sekarang ini kami tidak berani untuk melangkah keluar selepas kejadian curi itu berlaku kerana berasa khuatir akan keselamatan serta barang-barang yang lain,” tambah si isteri.
Pasangan suami isteri berkenaan yang baru berkahwin pada akhir tahun lepas dan berpindah ke flat kerajaan tersebut pada Mac lalu tidak menyangka perkara ini terjadi dan sungguh tidak bernasib baik untuk menyambut hari raya pertama mereka sebagai sepasang suami isteri dalam keadaan sebegini.