MADRID, 29 April – Sevilla telah memecat jurulatih Vincenzo Montella, hanya beberapa bulan mengendalikan pasukan terbabit selepas menerajui sembilan perlawanan tanpa sebarang kemenangan, pasukan La Liga Sepanyol itu mengumumkan.
Ia adalah pemecatan kedua musim ini bagi Montella selepas dia juga dipecat oleh AC Milan dalam Serie A pada November lalu.
Bekas jurulatih Sevilla, Joaquin Caparros, 62, yang tanpa kelab sejak meninggalkan Al Ahli dari Qatar pada Disember lalu, dinamakan sebagai pengganti kepada Montella.
“Kelab tersebut membuat keputusan ini kerana keputusan hambar pasukan yang belum mencatatkan kemenangan sejak 13 Mac,” kata Sevilla dalam kenyataan.
Kekalahan 2-1 pada Jumaat lalu di Levante membuktikan kendalian terakhirnya bagi kelab yang berada di tangga ketujuh dan nasib belum pasti bagi merebut tempat dalam persaingan Liga Europa musim depan.

Kekalahan kepada Levante hadir selepas kekalahan 5-0 pada hujung minggu lalu di tangan Barcelona dalam persaingan Copa del Rey.
Montella, 43, menggantikan jurulatih Argentina, Eduardo Berizzo pada akhir Disember lalu, yang dipecat hanya beberapa bulan selepas dijangkiti barah prostat.
Pengurus dari Itali itu juga dipecat oleh AC Milan pada November untuk digantikan oleh Gennaro Gattuso.
Montella membimbing Sevilla untuk kemenangan dalam persaingan pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara ke atas Manchester United sebelum persaingan mereka berakhir pada suku akhir di tangan Bayern Munich.
Dalam 28 perlawanan, dia memenangi 11 dan tewas 10 dengan tujuh seri.
Caparros pernah mengendalikan Sevilla dari 2000-2005 dan mempunyai baki empat perlawanan di tangan untuk menyelamatkan tempat untuk persaingan Eropah. – AFP