MANILA, 2 MAC – Filipina memecat bekas duta besarnya ke Brazil, Marichu Mauro (gambar) selepas satu rakaman video menunjukkan beliau mendera pembantu rumah di kediaman rasminya, dekat Brasilia.
Mauro diarahkan pulang ke Manila pada akhir tahun lalu selepas saluran rangkaian televisyen Brazil, GloboNews mendedahkan rakaman kamera keselamatan selama lapan bulan yang memaparkan tindakannya memukul mangsa berulang kali.
Semalam, Presiden Filipina, Rodrigo Duterte dalam satu siaran televisyen memberitahu bekas duta besar itu dipecat daripada perkhidmatannya di luar negara.
“Terdapat undang-undang yang perlu dipatuhi. Bagi yang ingkar, tanggunglah risiko. Jika ada perkara yang tidak betul, tentunya tidak akan terlepas,” katanya.
Pemecatan itu bermakna Mauro hilang manfaat pencen sebagai penjawat awam. Beliau juga disenarai hitam daripada berkhidmat dengan kerajaan.
Menurut GloboNews, pekerja warga Filipina itu bekerja di kediaman rasmi duta besar berkenaan di ibu negara Brazil.
Rakaman video penderaan antara Mac dan Oktober tahun lalu itu digunakan sebagai bukti dalam aduan yang dibuat kepada kerajaan Filipina terhadap salah laku Mauro.
Mauro dihantar ke Brazil pada 2018 dan dia juga bertanggungjawab untuk misi ke Colombia, Guyana, Suriname dan Venezuela. Sehingga kini, Mauro masih belum memberikan sebarang maklum balas atau komen yang diajukan oleh AFP mengenai pemecatannya. – AFP