Oleh Fadley Faisal –
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OGOS – Seorang lelaki warga tempatan, Muhammad Abdull Kahar bin Haji Tuah, 31 tahun, dijatuhi hukuman penjara 16 bulan semalam selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan berkelakuan tidak senonoh di khalayak awam di kawasan Panaga, Seria.
Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu berikutan pertuduhan yang dikemukakan oleh Pendakwa Raya Ahmad Firdaus bin Mohammad.
Mahkamah mendengar bahawa pada 19 Ogos, kira-kira jam 1:30 petang, Muhammad Abdull Kahar memberhentikan kenderaannya di sekitar kawasan perumahan G4 dan G5 di Panaga. Semasa berehat di tepi jalan, dia ternampak seorang wanita, dikenali sebagai Miss X, berjalan ke arahnya bersama seekor anjing.
Defendan kemudian mendedahkan alat kelaminnya dan mula melakukan onani di hadapan Miss X, menyebabkannya berasa cemas. Wanita itu segera melaporkan kejadian itu kepada majikannya, yang kemudian memaklumkan kepada pejabat pengurusan perumahan BSP.
Keesokan harinya, pada 20 Ogos, jam 7:20 pagi, defendan melakukan kesalahan serupa di kawasan perumahan F1 di Panaga. Selepas menghantar isterinya ke tempat kerja, dia ternampak seorang wanita lain, Miss Y, berjalan berhampiran.
Defendan memberhentikan kenderaannya, mendedahkan alat kelaminnya dan sekali lagi mula melakukan onani di depan wanita itu. Miss Y juga melaporkan kejadian itu kepada majikannya, yang membuat aduan rasmi di pejabat pengurusan perumahan BSP.
Kedua-dua kejadian telah dilaporkan kepada Balai Polis Panaga selepas pihak pengurusan perumahan BSP menasihatkan mangsa berbuat demikian. Siasatan polis seterusnya membawa kepada penahanan Muhammad Abdull Kahar.
Semasa disoal siasat, defendan mengaku melakukan perbuatan tersebut dengan menyatakan dia mudah terangsang apabila melihat wanita.
Mahkamah dimaklumkan bahawa defendan tidak mempunyai sabitan yang berkaitan sebelum ini di Negara Brunei Darussalam.