BUENOS AIRES, 13 DIS – Seorang lelaki warganegara Argentina terpaksa me-ringkuk di penjara selama 21 hari selepas polis tersalah sangka bedak talkum yang ditemui disangka kokain.
Polis menyangka 18 botol bedak talkum sebelum mengambil masa tiga minggu untuk menganalisis bahan itu, lapor Oddity Central.
Kejadian itu berlaku kepada Maximiliano Acosta pada Oktober lalu ketika dia menaiki bas di bandar Mendoza menuju ke Buenos Aires. Tidak lama selepas itu, bas tersebut dihentikan di La Paz untuk pemeriksaan rutin oleh pasukan tentera.
Setelah memeriksa bagasi penumpang, pihak berkuasa mendapati Acosta membawa 18 botol bedak talkum dan dia disoal siasat. Walaupun lelaki itu menjelaskan bahawa bekas itu sebenarnya bedak talkum untuk kegunaan peribadi, namun pihak berkuasa menahannya kerana disyaki memiliki dadah.
Dia dimasukkan ke penjara tanpa memberitahu keluarganya mengenai kejadian tersebut.
“Hasil pemeriksaan, pegawai mengesan seorang lelaki telah membawa bekas bedak talkum untuk kebersihan diri dalam barang-barangnya,” kata pihak berkuasa dalam kenyataan pada 2 Oktober, sambil menambah sejumlah dua kilogram dan 444 gram kokain dirampas dalam operasi itu.
Penemuan itu menjadi bualan hangat sehingga Menteri Keselamatan Argentina, Particia Bullrich, memuat naik berita tersebut di media sosial.
Selepas bantahan daripada Acosta, serbuk putih itu telah dihantar ke makmal lain untuk ujian pengesahan, namun dia dipenjarakan 21 hari sehingga keputusan kedua dikeluarkan.
Setelah keputusan dikeluarkan, serbuk putih itu disahkan sebagai bedak talkum dan dia dibebaskan.
Seorang jurucakap pihak berkuasa berkata kepada media bahawa penahanan Acosta adalah satu kesilapan. – Agensi