Oleh Nour Maghfirah –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JAN – Mahkamah Perantaraan pada Sabtu menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan dan satu kali sebatan terhadap seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun kerana pecah rumah dan curi di sebuah kediaman di Kuala Belait.
Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Musawwir Haji Mahli dan Ahmad Firdaus Mohammad mendedahkan Rosli bin Mat Tassim bersama dua rakan subahatnya memecah masuk sebuah rumah di Jalan Singa Menteri antara petang 2 Mei dan tengah hari 3 Mei 2024.
Mereka memasuki kediaman itu dengan memanjat pagar dan memecah masuk melalui tingkap sisi sebelum menggeledah premis.
Mahkamah mendengar Rosli mencuri lampu kecil berkuasa bateri dan jet air berwarna kuning, manakala rakan subahatnya mengambil barang lain yang tidak dikenal pasti.
Siasatan polis mendapati bahawa pemilik rumah, perasan kejadian pecah masuk itu pada 3 Mei dan memfailkan laporan, membawa kepada penahanan Rosli tiga hari kemudian.
Ketika disoal siasat, Rosli mengaku melakukan jenayah itu tetapi tidak dapat mengesahkan apa yang dicuri rakan sejenayahnya. Penyiasat juga mendapati dia kemudiannya membuang barangan curi itu ke dalam sungai berhampiran Jalan Mumong. Jet air yang dicuri, yang bernilai $180, tidak ditemui.
Hakim Radin Safiee bin Radin Mas Basiuni menjatuhkan hukuman itu selepas mengambil kira sabitan terdahulu Rosli atas kesalahan mencuri dan menceroboh, termasuk hukuman penjara 12 bulan pada 2020 dan hukuman 18 bulan pada 2021 bagi pelbagai kesalahan berkaitan harta.