Oleh Fadley Faisal –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MEI – Mahkamah Majistret hari ini menjatuhkan hukuman penjara 36 bulan ke atas seorang lelaki tempatan selepas dia mengaku bersalah atas pelbagai pertuduhan berkaitan kecurian dan kerosakan harta kerajaan di Tenaga Suria Brunei.
Timbalan Pendakwa Raya, Atikah Husaini mendedahkan Muhammad Amirul Mukhriz bin Abdullah @ Earddey Jose Earfeyan bin Jose Rizal, 29, bersama rakan subahat, menceroboh ladang solar yang terletak di Jalan Lorong Tengah, Mukim Seria di Daerah Belait beberapa kali pada Mac dan April, dengan niat mencuri kabel elektrik hitam milik kerajaan.
Dalam satu kejadian pada Mac lalu, Muhammad Amirul, bersama-sama Individu A (pemandu Toyota Carina putih), Individu B dan Individu E, memasuki Tenaga Suria melalui pagar yang rosak.
Berbekalkan beg hitam yang mengandungi pemutar skru, playar, pemotong pisau dan penyodok tangan, mereka menghampiri sebuah panel solar. Muhammad Amirul menggunakan pemotong kabel untuk memutuskan kabel elektrik hitam sehingga menyebabkan kerosakan.
Selepas mengeluarkan kabel, mereka menanggalkannya dan menghubungi seorang lelaki warganegara India, yang membelinya pada harga $400. Hasilnya dibahagikan dalam kalangan kumpulan itu.

Siasatan seterusnya oleh polis mendapati alat yang ditemui berhampiran panel solar pada 3 April, sepadan dengan yang digambarkan oleh pengadu, dan membawa kepada pengecaman Muhammad Amirul.
Dia mengaku melakukan kecurian dan pencerobohan, serta memiliki alatan yang ditemui di tempat kejadian.
Dalam kejadian berasingan pada 9 April, Muhammad Amirul, bersama-sama Individu B, C, dan E, sekali lagi menceroboh Tenaga Suria dan mencuri kabel elektrik tambahan.
Kumpulan itu kemudiannya menjual kabel yang dicuri dengan harga $200 kepada seorang warga India yang tinggal di Kampung Katimahar. Wang itu sekali lagi dibahagikan antara mereka.
Muhammad Amirul mengha-dapi tujuh pertuduhan, termasuk mencuri mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, khianat mengikut Seksyen 426, dan pencerobohan jenayah mengikut Seksyen 447, dibaca bersama Seksyen 34 untuk niat bersama. Kesalahannya termasuk tindakan kecurian bersama dan individu, kerosakan harta benda dan kemasukan yang menyalahi undang-undang dalam harta kerajaan.
Semasa menjatuhkan hukuman, Majistret Nur Eleana binti Dato Seri Paduka Haji Hairol Arni mengambil kira pengakuan penuh defendan semasa siasatan polis, termasuk peranannya dalam memotong dan menjual kabel serta jenayah yang berulang.