Thursday, November 21, 2024
32.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dipenjara 38 bulan laku aniaya

    Oleh Nour Maghfirah –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Mahkamah Majistret pada Rabu menjatuhkan hukuman penjara 38 bulan ke atas seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun selepas dia mengaku bersalah atas lima pertuduhan melakukan aniaya menyebabkan kerosakan kenderaan, termasuk kenderaan polis.

    Pertuduhan terhadap Hamzah bin Haji Md Noor mengikut Seksyen 426 dan 427 Kanun Keseksaan, melibatkan ganti rugi berjumlah lebih $5,600. Sejarah lampau defendan bagi kesalahan serupa dan sikap tidak menghiraukan penguatkuasaan undang-undang secara terang-terangan telah disebut sebagai faktor yang memburukkan oleh Majistret Nur Eleana binti Dato Seri Paduka Haji Hairol Arni.

    Timbalan Pendakwa Raya Abdul Musawwir bin Haji Mahli mendedahkan pada 1 Jun, defendan mengamuk di luar kediaman, merosakkan beberapa kenderaan dengan membaling batu bata, serpihan konkrit dan penutup logam.

    Dia kemudiannya merosakkan kenderaan polis apabila pegawai tiba di tempat kejadian dan melarikan diri ke dalam hutan berhampiran sebelum ditahan. Defendan mengakui perbuatannya didorong oleh kemarahan dan penyalahgunaan dadah.

    Hamzah pada mulanya menafikan pertuduhan terhadapnya, meminta dibicarakan bagi tujuh daripada lapan pertuduhan yang dihadapinya.

    Gambar Freepik

    Bagaimanapun, menjelang perbicaraan, dia membuat representasi kepada pihak pendakwaan, yang diterima, menyebabkan dia menukar pengakuannya.

    Dia akhirnya mengaku bersalah atas lima pertuduhan melakukan aniaya menyebabkan kerosakan, termasuk satu pertuduhan mengikut Seksyen 426 dan empat pertuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan. Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman ke atasnya berdasarkan pengakuannya dan keadaan yang memburukkan kesalahan.

    Semasa menjatuhkan hukuman, majistret menekankan sifat serangan yang tidak diprovokasi, kos pembaikan yang besar, kesulitan yang timbul kepada mangsa, dan keingkaran defendan terhadap penguatkuasaan undang-undang. Dia juga menyatakan rekod jenayahnya yang banyak, termasuk sabitan terdahulu atas kesalahan berkaitan harta dan serangan ke atas pegawai polis pada 2020.

    Timbalan Pendakwa Raya berhujah mengatakan hukuman pencegahan perlu dilaksanakan, menekankan kepentingan awam dan keperluan untuk melindungi pegawai penguatkuasa undang-undang.

    Mahkamah mengelak daripada mengenakan sebatan, memandangkan umur defendan melebihi 50 tahun.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda