Dipenjara 6 tahun bunuh rakan serumah

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OGOS – Seorang lelaki warga Filipina dijatuhi hukuman penjara selama enam tahun oleh Mahkamah Tinggi kelmarin selepas mengaku bersalah pada 14 Ogos lalu atas tuduhan mencekik seorang wanita sehingga mati.

Naje Walley Alemania dituduh membunuh kenalannya dari Filipina, di mana fakta kes menyatakan bahawa dia telah mencekik mangsa sehingga mati.

Tertuduh dan mangsa yang bekerja di Brunei tinggal di bilik berasingan dalam sebuah rumah di Kampung Puni, Temburong dan saling mengenali antara satu sama lain selama sembilan tahun.

Pada 30 Disember 2015, tertuduh keluar bersama rakan-rakannya dan ketika dia pulang ke rumah, mangsa kemudian bertanya kepada tertuduh ke mana dia pergi sehingga tercetusnya pertengkaran mulut yang akhirnya berlaku kekerasan di mana tertuduh mencekik mangsa sehingga mati di bilik mangsa.

Rakan-rakan mangsa kemudian menemui mayatnya pada petang 31 Disember 2015 yang membawa kepada laporan polis.

Bedah siasat mendedahkan bahawa terdapat 91 kecederaan di badan mangsa.

Tertuduh disyaki melakukan perbuatan itu ketika polis menemui tanda calar di wajah dan badannya yang membawa kepada pengambilan sampel DNA daripada tertuduh dan mangsa.

Analisis DNA pada keratan kuku tertuduh yang diperoleh pada 31 Disember 2015 dan juga baju yang dipakainya pada waktu itu menunjukkan terdapatnya DNA mangsa.

Peguam Bela Ahmad Zakaria Mohammad yang mewakili tertuduh menyatakan bahawa anak guamannya merasa menyesal kerana menyebabkan kematian mangsa.

Ketua Hakim Negara, Dato Seri Paduka Steven Chong mempertimbangkan untuk memberikan hukuman setimpal dengan melihat keadaan kes yang dianggap satu perbuatan kejam terhadap seorang wanita yang tidak berdaya sehingga menyebabkan kematian.

Mahkamah juga menjelaskan bahawa ibu mangsa bergantung kepada mangsa untuk mendapatkan bantuan kewangan.

Ketua hakim memerintahkan hukuman penjara enam tahun itu dimulakan sejak tertuduh pertama kali direman.

Timbalan Pendakwa Raya Hajah Suriana binti Haji Radin dan Pengiran Hajah Nor ‘Azmeena binti Pengiran Haji Mohiddin mewakili pendakwa raya.