Thursday, May 8, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dipenjara 8 tahun kerana merompak dan cederakan warga emas

    KOTA TINGGI, 10 JULAI – Seorang pekebun kelapa sawit dihukum penjara lapan tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Tinggi hari ini, selepas mengaku bersalah merompak gelang tangan dan mencederakan seorang warga emas.

    Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan menjatuhkan hukuman itu terhadap Nazry Mohamad Mokhtar, 37, dan hukuman bermula dari tarikh tangkap pada 2 Julai lepas.

    Nazry didakwa melakukan perbuatan itu ke atas wanita berusia 60 tahun di sebuah rumah di Felda Air Tawar 4, dekat Kota Tinggi, pada 12:40 tengah hari 2 Julai lepas, mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda atau sebat.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Irsyad Mardi dan Ahmad Khairuddin Khalid memohon hukuman setimpal terhadap Nazry dengan mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan peribadi.

    Muhammad Irsyad berkata kesalahan yang dilakukan adalah serius kerana tertuduh membawa sebilah parang sehingga menyebabkan kecederaan dan trauma bukan sahaja kepada mangsa tetapi juga masyarakat sekeliling.

    Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Hilmi Sulaiman Salahuddin yang mewakili tertuduh, memohon hukuman ringan memandangkan Nazry yang berpendapatan RM1,500 sebulan menanggung isteri, empat anak dan ibu bapanya. – Bernama

    Pekebun kelapa sawit Nazry Mohamad Mokhtar, 37, (tengah) dihukum penjara lapan tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen hari ini, selepas mengaku bersalah merompak gelang tangan dan mencederakan seorang warga emas. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda