BELLINZONA, 19 SEPT – Seorang wanita Switzerland, hari ini dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun selepas mengelar dua individu atas nama kumpulan Islamic State (IS), namun hukumannya digantung bagi membolehkan dia menjalani rawatan psikiatri.
Hakim Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland mendapati wanita itu, yang tidak boleh dinamakan atas sebab perundangan, bersalah atas dua pertuduhan cubaan membunuh.
Presiden mahkamah, Fiorenza Bergomini, ketika membacakan keputusan itu, berkata tertuduh tidak menghormati nyawa manusia.
“Dia bertindak tanpa belas kasihan, merancang tindakannya dan memutuskan senjata apa yang hendak digunakan dan di mana untuk membelinya,” kata Bergomini.
Keadaan mental wanita berusia 29 tahun itu menjadi tumpuan perbicaraan di Bellinzona, di wilayah Ticino yang menggunakan bahasa Itali, di mana serangan itu berlaku.
Serangan yang tidak mengorbankan nyawa itu, berlaku di gedung mewah Manor di Lugano, selatan Switzerland, pada 24 November 2020.
Tertuduh tiba-tiba menerkam dua wanita, yang sedang membeli-belah di gedung itu dan cuba mengelar leher mereka.
Menurut pertuduhan dari Pejabat Peguam Negara, tertuduh bertindak dengan sengaja dan menjerit ‘Allahuakhbar’ dan ‘Saya akan membalas dendam Nabi Muhammad’, dan mengisytiharkan dirinya berada di situ untuk IS. – AFP