Dipenjara curi minyak wangi

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OGOS – Dua lelaki yang mengaku bersalah melakukan curi di beberapa cawangan kedai Guardian dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Majistret, hari ini.

Hukuman 10 bulan penjara terhadap Muhammad Farik Fadillah bin Panjang, 32, diputuskan Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid yang turut menjatuhi hukuman lapan bulan penjara terhadap Mohammad Faizal bin Dulrahman, 33 tahun. Kedua-dua tertuduh mencuri tiga minyak harum dan sebotol protin Whey dari cawangan Guardian di Bangunan Pengakap, Kampung Mata-Mata pada 20 Julai 2019 dan pada hari sama turut mencuri lima lagi minyak harum dan empat botol On Amino Energy dari cawangan Guardian di Batu Besurat, Gadong.

Kedua-dua mereka sekali lagi melakukan kesalahan sama dengan menyasarkan cawangan Guardian di Bangunan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada 28 Julai 2019 apabila mencuri dua penyembur minyak wangi dan dua botol minyak harum. Pada 28 Julai juga, kedua-dua tertuduh sekali lagi mencuri dua botol On Amino Energy di Guardian cawangan Seri Kiulap Mall dan turut mencuri empat botol On Amino Energy lagi dari cawangan Guardian di Bangunan Pengakap, Kampung Mata-Mata. Perbuatan mencuri kedua-dua tertuduh dirakam oleh CCTV.

Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hidayatul Aeny Alisah binti Haji Zullizam.