Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MAC – Seorang lelaki yang mencuri kamera litar tertutup (CCTV) dijatuhi hukuman empat bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, kelmarin.
Hukuman terhadap Muhammad Rafi Ezamdie bin Mohd Daud, 28, diputuskan Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman.
Tertuduh mengaku bersalah melakukan kesalahan itu secara rambang apabila berjalan menuju ke kedai kiub di Lumut sekitar jam 3 pagi pada 26 Februari 2020.
Tertuduh yang ternampak CCTV di luar pintu utama kedai, nekad menanggalkan dan melarikan CCTV di premis itu.
CCTV yang hilang disedari pemilik kedai ketika memulakan waktu perniagaannya, dan laporan polis dibuat.
Siasatan berdasarkan rakaman CCTV lain di kawasan premis, menunjukkan tertuduh melakukan kesalahan itu.
Tertuduh ditangkap, yang mana dia mengakui telah menjual CCTV itu dan hasilnya digunakan untuk membeli barang harian.
Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Ariffin bin Ismail.