Dipenjara empat tahun, dua sebatan kerana curi

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN 5 MAC – Seorang lelaki yang melakukan curi dan pecah masuk restoran dijatuhi hukuman empat tahun penjara dan dua sebatan oleh Mahkamah Perantaraan, hari ini.

Hakim Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar menjatuhkan hukuman terhadap Awangku Muhamad Arif bin Pengiran Rosmale, 27, yang mengaku bersalah melakukan kesalahan itu dalam tiga kejadian berasingan.

Tertuduh mencuri $90 dari mesin daftar tunai dan $2 lagi dari kotak tip, satu topi dan satu tablet jenama Lenovo dari restoran di Kiulap II sekitar jam 4 pagi pada 15 Januari 2020.

Kehadiran ‘tidak diundang’ tertuduh di restoran itu dirakam kamera litar tertutup, dan laporan polis dibuat oleh pengurus restoran.

Tertuduh dalam kejadian lain pada 20 Januari 2020 sekitar jam 2:45 pagi turut memecah masuk satu lagi restoran di kawasan Kiulap dan mencuri $15 dari kotak tip, satu komputer riba jenama Dell, pengecas telefon bimbit, satu set kunci dan satu pembesar suara JBL.

Dia menjual komputer riba itu kepada pembeli pada harga $45.

Pekerja restoran yang datang bekerja mendapati bahagian kaunter wang diselongkar dan alat penggera keselamatan restoran telah dimatikan.

Dia terus membuat laporan polis.

Dalam kejadian terdahulu pada awal pagi 5 November 2019, tertuduh sebelum ini telah memecah masuk restoran sama di kawasan Kiulap dan mencuri wang dari mesin daftar tunai dan dari kotak wang, dan satu telefon bimbit Huawei Nova 3i.

Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Sabrina binti Haji Mahmud.