Thursday, December 26, 2024
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dipenjara kerana beri, terima rasuah

    Oleh Fadley Faisal

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Mahkamah Majistret kelmarin telah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun ke atas seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun selepas tertuduh mengaku bersalah atas 27 pertuduhan merasuah seorang pegawai kastam.

    Timbalan Pendakwa raya Nor Hafizah binti Ahmad mendedahkan di mahkamah bahawa pada tahun 2017, Reginalo Choong Cheng Jian berjumpa dengan seorang pegawai kastam di Pos Kawalan Sungai Tujoh, di mana tertuduh bertukar-tukar nombor telefon dengan pegawai tersebut.

    Tertuduh kemudian mula menghubungi pegawai berkenaan dan memaklumkan bahawa dia mahu membawa masuk minuman keras dan rokok ke Brunei Darussalam.

    Tertuduh selepas itu menawarkan wang suapan kepada pegawai kastam kerana membantu beliau untuk membawa masuk barang tegahan ke negara ini dan memberikan maklumat mengenai situasi di Pos Kawalan Sungai Tujoh setiap kali tertuduh ingin membawa masuk minuman keras dan rokok.

    Pegawai kastam tersebut bersetuju untuk mengatur masa sekiranya tertuduh ingin masuk ke negara ini melalui Miri, dan pegawai berkenaan akan memberi bantuan kepada tertuduh untuk masuk ke negara ini tanpa perlu membuat pengesahan barang tertuduh.

    Tertuduh bersetuju untuk membuat bayaran secara komisen kepada pegawai kastam tersebut bagi setiap barang yang tidak perlu disahkan, di mana pegawai berkenaan akan menerima wang berjumlah $5 bagi setiap kotak minuman keras dan $2 bagi setiap karton rokok. Perjanjian tersebut telah dipersetujui oleh kedua-duanya.

    Sebelum memasuki Brunei Darussalam, tertuduh akan memaklumkan pegawai tersebut jumlah minuman keras dan rokok yang akan dibawa masuk.

    Setelah tertuduh berjaya membawa masuk barang tegahan tersebut, dia akan memberikan wang suapan kepada pegawai kastam itu melalui transaksi pemindahan wang dari akaun bank atau menerusi akaun rakannya.

    Perbuatan tersebut telah dilakukan di antara 24 Oktober 2017 dan 4 Mac 2018. Semasa tempoh tersebut, tertuduh telah memberikan wang suapan sebanyak $4,912 kepada pegawai kastam dalam 27 kejadian berasingan.

    “Mahkamah sangat bersetuju bahawa rasuah adalah satu kesalahan besar, sehinggakan negara telah menubuhkan sebuah jabatan khas yang bebas untuk menangani kesalahan tersebut. Selain itu, amalan rasuah akan menyebabkan kehancuran kepada negara, oleh itu ia tidak boleh dipandang ringan,” kata Majistret Mohammad Marzuqi bin Sabtu semasa menjatuhkan hukuman.

    Pegawai Kastam, Haji Mohammad Haikal bin Haji Suhaili, telah dijatuhkan hukuman oleh Ketua Majistret, Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar selepas dia mengaku bersalah terhadap 27 pertuduhan yang sama menerima rasuah pada 1 Julai lalu dengan hukuman penjara selama tiga tahun.

    Mahkamah turut mengarahkannya untuk membayar denda sebanyak $4,912 atau melanjutkan tempoh penjara selama lima bulan jika gagal membayar denda.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda