Saturday, May 10, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dipenjara lapan bulan rosak harta benda

    Oleh Rafidah Jumat

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MAC – Seorang lelaki yang melakukan khianat dengan merosakkan harta benda di kawasan komersial Kiulap dalam kejadian Disember 2019, dijatuhi hukuman lapan bulan penjara oleh Mahkamah Majistret.

    Hukuman terhadap Muhammad Izzat bin Haji Said, 34, dijatuhkan Majistret Pengiran Hazirah binti Pengiran Haji Mohd Yusof pada 19 Mac lalu.

    Kejadian didakwa berlaku pada 22 November 2019 sekitar 8:20 pagi apabila pengurus kafe meminta bayaran sarapan pagi daripada tertuduh yang selesai menikmati hidangannya namun diberitahu tertuduh yang makanannya akan dibayar oleh sekumpulan lelaki yang turut berada di kafe tersebut.

    Sekumpulan lelaki itu bagaimanapun tidak tahu mengenai bayaran untuk makanan tertuduh apabila ditanya oleh pengurus kafe. Pengurus kafe pergi semula kepada tertuduh dan meminta bayaran sambil memberitahunya yang kumpulan lelaki itu tidak tahu apa-apa mengenai bayaran untuk makanannya.

    Tertuduh naik berang dan menyerang pengurus kafe sehingga mencemaskan pelanggan lain dalam kafe.

    Tertuduh kemudian keluar dan memecah tingkap sebuah kereta yang diletakkan di luar kafe menggunakan batang besi sebelum masuk ke dalam hotel di mana dia membaling pasu dan memecahkan hiasan kaca.

    Dia juga memecahkan empat lagi tingkap kereta yang diletakkan di kawasan komersial itu.
    Tertuduh di tempat berasingan pada kira-kira jam 4 petang di Batu Satu turut memecahkan gelas dengan membalingnya ke lantai. Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya Raihan Nabilah binti Ahmad Ghazali dan Ahmad Firdaus bin Mohammad.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda