Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Sept – Seorang kakitangan awam dijatuhi hukuman setahun penjara oleh Mahkamah Perantaraan selepas mengaku bersalah melakukan pecah amanah.
Yahya/Yahaya bin Haji Budin yang berkhidmat selama 28 tahun di Terminal Serasa, Pelabuhan Muara telah menggelapkan wang $14,802 dalam beberapa kejadian berasingan antara September 2013 hingga Mac 2014, ketika bertugas di pelabuhan tersebut.
Hukuman terhadap tertuduh dijatuhkan Hakim Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli.
Kertas pertuduhan menyebut, tertuduh yang memegang jawatan ketua di Terminal Serasa diamanahkan untuk menerima pembayaran dan mengeluarkan resit penumpang feri.
Perbuatan pecah amanah yang dilakukannya selama enam bulan itu hanya terbongkar pada 6 Mac 2014 selepas dia dipindahkan ke bahagian perkapalan.
Tertuduh mengakui kesilapannya, yang mana dia telah menggunakan wang feri, yang sepatutnya dimasukkan ke dalam bank.
Dia mengaku menggunakan wang itu untuk kegunaan dirinya dan juga melunaskan pinjaman peribadi.
Timbalan Pendakwa Raya, Yvonne Lim memaklumkan mahkamah bahawa tertuduh tidak pernah membayar balik kesemua wang yang dilesapkan itu.