Monday, May 12, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dipenjara seumur hidup kerana intai, bunuh wanita

    SEOUL, 11 JULAI – Mahkamah Korea Selatan menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas seorang lelaki hari ini kerana membunuh seorang wanita yang diintainya selama bertahun-tahun.

    Mahkamah Tinggi Seoul menjatuhkan hukuman kepada Jeon Joo-hwan yang berusia 32 tahun kerana membunuh bekas rakan sekerja sebagai membalas dendam selepas mangsa melaporkannya kepada polis kerana mengintai.

    Selama hampir dua tahun, Jeon mengikuti dan mengugut wanita itu sebanyak lebih 300 kali tetapi tidak pernah ditahan, walaupun wanita itu memfailkan aduan berulang kali, kerana polis menganggapnya ‘berisiko rendah’.

    Pada 14 September tahun lalu, sehari sebelum Jeon sepatutnya dijatuhkan hukuman kerana menghendap, dia menikamnya hingga mati di tandas awam di stesen kereta api bawah tanah Seoul.

    Jeon dilaporkan memberitahu penyiasat bahawa dia telah marah dengan masalah undang-undang yang ditimbulkan mangsanya. Dia telah dipecat daripada pekerjaannya di Metro Seoul – juga tempat wanita itu bekerja – selepas dia mula-mula melaporkannya kerana mengintai.

    Mahkamah daerah telah menjatuhkan hukuman penjara 40 tahun kepada Jeon pada Februari dalam kes pembunuhan itu. Dia secara berasingan diberi tambahan sembilan tahun atas dakwaan mengintai.

    Kedua-dua kes itu telah digabungkan untuk keputusan rayuan, dengan pendakwa menuntut hukuman yang lebih berat. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda