SIHANOUKVILLE, KEMBOJA – Diperdagangkan, dipukul dan dikurung jauh daripada keluarganya di China, Lu merupakan salah seorang daripada ribuan mangsa di Kemboja yang dipaksa menguruskan penipuan dalam talian demi ‘memenuhi’ poket penculik mereka.
Sekatan pergerakan COVID menyebabkan pembina tidak bekerja, jadi apabila mendengar dia boleh meraih AS$2,000 sebulan untuk projek pembinaan di Kemboja, dia lantas tidak berfikir panjang.
Namun tidak lama kemudian menyedari dirinya ditipu oleh geng penipuan di sebuah pusat peranginan tepi laut Sihanoukville, bersama ratusan yang lain.
Di sana, dia dipaksa bekerja syif 12 hingga 16 jam, melayari media sosial dan aplikasi temu janji untuk memburu mangsa bagi mendapatkan sejumlah wang besar.
“Sebaik sahaja saya tiba, sudah terlambat untuk melarikan diri. Tetapi selagi saya masih hidup, saya akan terus mencuba,” kata Lu kepada AFP.
Mangsa-mangsa dari negara di seluruh Asia – termasuk Vietnam, Filipina, Thailand, Malaysia, China, Taiwan, Hong Kong, Bangladesh dan India – juga terjerat dalam operasi serupa.
Individu lain seperti Lu yang berusia 34 tahun, berjaya lolos, walaupun ribuan yang lain dikhuatiri masih terperangkap.
Pada Ogos, pelapor khas PBB berhubung situasi hak asasi manusia di Kemboja, Vitit Muntarbhorn, berkata mangsa pemerdagangan manusia ‘menjalani kehidupan bagai neraka kerana sering diseksa malah hilang nyawa’.
Sihanoukville dulunya sebuah bandar peranginan yang sunyi sepi, namun kini sudah berubah sejak kemasukan besar pelaburan China.
Puluhan kasino tumbuh bak cendawan beberapa tahun kebelakangan ini, menjadikannya sarang perjudian Cina dan menarik kumpulan jenayah antarabangsa.
Apabila sekatan perjalanan semakin berkurangan semasa wabak, kumpulan ini mengalihkan tumpuan mereka.
Jeremy Douglas, dari Pejabat Dadah dan Jenayah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNODC), berkata, “Kumpulan penjenayah beralih kepada perniagaan kasino dalam talian dan beberapa daripadanya terlibat dalam penipuan online dan telefon.”
Seorang anggota kumpulan memberitahu AFP dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan bahawa orang pertama yang menjadi mangsa operasi seperti dirinya adalah warga China yang sudah berada di Kemboja.
Kumpulan samseng itu kemudian memperdagangkan orang ke negara itu. Douglas dari UNODC berkata ‘beribu-ribu dan sebilangan lagi telah menganggarkan bahawa kemungkinan puluhan ribu orang’ telah terperangkap.
Untuk menghalang mangsa melarikan diri, kawasan tersebut dipasang dengan tingkap logam dan dawai berduri.
“Sebaik sahaja mereka tiba di perkarangan itu, mereka tidak boleh keluar,” kata ahli kumpulan itu. Mangsa akan dipukul atau diseksa dan dijual jika mereka enggan menipu orang lain.”
Menurut sumber, ada yang dijual kepada kumpulan lain di Kemboja, manakala yang mahir IT atau Bahasa Inggeris akan dijual sehingga $50,000.
AFP menemu bual empat mangsa pemerdagangan yang mengatakan telah menerima tawaran pekerjaan yang lumayan sewaktu pandemik.
Seorang lelaki Cina warga Malaysia bernama Roy berusia 38 tahun menceritakan perjalanannya ke Phnom Penh yang disambut oleh seorang wanita berpakaian pejabat yang membawanya melepasi imigresen dan masuk ke kereta menuju ke Sihanoukville selama lima jam.
Di sana, dia dibawa ke sebuah kompleks blok pangsapuri setinggi puluhan tingkat, menempatkan bilik penginapan dan pejabat.
“Ia kelihatan seperti pejabat biasa, dengan tiga baris meja dengan monitor dan papan kekunci, sama seperti kafe siber,” kata Roy kepada AFP.
Tetapi katanya, “Sebaik sahaja masuk, awda tahu awda tidak akan melakukan perkhidmatan pelanggan.”
Pasport Roy dan rakan senasibnya telah dirampas dan diarahkan untuk menyediakan profil palsu pada aplikasi dan laman temu janji termasuk TikTok, Facebook, Instagram dan WhatsApp.
Di bawah ancaman keras yang berterusan, mereka akan memancing sasaran untuk melabur wang ke dalam mata wang kripto atau platform pelaburan lain.
Yang lain terpaksa menjalin hubungan ‘cinta’ dengan sasaran mereka dalam talian, selain menipu mangsa kononnya memerlukan bantuan untuk membayar hutang.
Tidak diketahui jumlah wang yang diperoleh kumpulan itu dalam sindiket tersebut, walaupun Douglas PBB berkata jumlahnya ‘mengejutkan’ dan tidak jelas di mana ia telah disalurkan.
Anggota kumpulan di Sihanoukville memberitahu AFP dia tidak tahu untuk siapa dia bekerja.
“Kami tidak tahu siapa mereka. Mereka adalah mafia sebenar,” ujarnya.
Penipu paksa yang ingkar akan mendapat hukuman berat. Pekerja pembinaan Lu berkata dia ‘sering dipukul’ kerana ditangkap cuba melarikan diri.
Yang lain berkata ahli geng menggunakan belantan elektrik untuk merenjat mangsa atau mengurung pekerja dalam bilik kecil tanpa air, makanan dan bergelap selama berjam-jam.
“Mereka juga mengarahkan seseorang untuk berbaring dan menendang mereka, seperti anjing,” kata Roy.
“Kadang-kadang (mereka akan) direnjat dan ditendang, dipukul selama lima hingga 10 minit.”
Sebilangan orang, seperti Roy, bernasib baik. Selepas diberitahu dia perlu menebus dirinya pada harga AS$20,000, dia berjaya diselamatkan selepas menghubungi kumpulan mangsa Taiwan, Pertubuhan Antipemerdagangan Dunia (GASO).
Kumpulan itu bekerjasama dengan pegawai Kemboja untuk memudahkan usaha menyelamat dan menghantar pulang rakyat.
Yang lain mengambil pendekatan lebih dramatik – pada Ogos puluhan pekerja Vietnam melarikan diri dari kasino di wilayah Kandal dan berenang menyeberangi sungai, kembali ke tanah air.
Perhatian terhadap isu itu semakin berkembang, Amerika Syarikat pada Julai telah menurunkan taraf Kemboja dalam laporan tahunan pemerdagangan manusia.
Selepas beberapa bulan penafian rasmi, Perdana Menteri Hun Sen mengarahkan pemburuan ketua kumpulan dan pihak berkuasa melancarkan beberapa serbuan berprofil tinggi pada Ogos.
Pada September, polis membebaskan lebih 1,000 warga asing dari tiga kawasan di Sihanoukville.
Di satu tapak, satu serbuan telah merampas hampir 9,000 telefon bimbit, 800 komputer, peralatan renjatan elektrik dan gari.
Lu dibebaskan semasa salah satu serbuan tersebut.
Namun, pemerhati antarabangsa dan kumpulan hak asasi manusia masih ragu dengan kesungguhan tindakan keras kerajaan.
Jacob Sims, pengarah Misi Keadilan Antarabangsa Kemboja, berkata usaha itu perlu lebih mendalam bukan hanya sekadar operasi serbuan dan penyelamatan.
“Kebertanggungjawaban jenayah terhadap ketua sindiket terancang transnasional amat penting jika kita berharap untuk membanteras isu ini,” katanya.
Lebih membimbangkan jika hanya menutupnya kerana kumpulan itu mudah bergerak ke lokasi lain dan menubuhkan kumpulan itu semula.
“Hari ini ia beroperasi di Kemboja, tetapi esok kumpulan yang disingkirkan itu akan beralih ke Myanmar, Laos atau Filipina – dan ia sudah pun berlaku,” kata Douglas dari PBB.
Kembali ke Kemboja, mereka yang diselamatkan oleh polis, seperti Lu, menghadapi masa depan yang tidak pasti.
Walaupun dia berjaya mengelak daripada ditahan imigresen, dia memberitahu AFP, dirinya tidak mampu pulang kepada isteri dan anaknya yang berusia sembilan tahun di China.
Jurucakap kementerian luar China memberitahu AFP bahawa kerajaan sedang bekerjasama dengan Kemboja dan negara lain untuk memerangi jenayah rentas negara dan ia ‘dengan tegas mendukung kedua-dua hak keselamatan dan undang-undang serta keistimewaan warga China di luar negara’.
Lu berkata dia tidak menerima bantuan daripada kedutaan China.
“Kedutaan China hanya mempunyai satu perkara untuk dikatakan: Orang dewasa perlu menanggung akibat keputusan mereka,” katanya. – AFP