BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mei – Diplomasi pertahanan terus menjadi teras strategi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dalam menyelesaikan konflik maritim yang telah menyaksikan beberapa takat tegang baru-baru ini.
Timbalan Menteri Pertahanan, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit menekankan perkara berkenaan semasa temu bual khas sempena ulang tahun ABDB ke-58 tahun ini.
Beliau menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam telah sentiasa dilihat oleh rakan-rakan sejawatnya sebagai pejuang dan pengantara untuk menyelesaikan pertikaian-pertikaian dan mencegah konflik menerusi komunikasi kerap.
“Ketegangan maritim seumpamanya akan terus menjadi isu politik yang bagi Brunei Darussalam sebaik-baiknya ditangani dengan konsultasi-konsultasi. Cara terbaik untuk ABDB adalah mencari peluang-peluang bagi meningkatkan kerjasama praktikal yang boleh mempertingkatkan lagi pembangunan kepercayaan dalam kalangan pihak menuntut serta menangani ancaman-ancaman keselamatan bukan tradisi yang lebih mendesak,” katanya.
Beliau juga mengulas soalan mengenai peranan ABDB dalam meredakan ketegangan sedemikian di rantau ini.

“Keamanan, keselamatan dan kestabilan kawasan yang dimiliki maritim kita adalah penting kepada kesejahteraan bersama oleh itu tidak patut dijejaskan,” tegasnya sementara mengetengahkan beberapa langkah dan inisiatif yang telah diambil oleh Kementerian Pertahanan dan ABDB untuk mencegah dan meredakan salah faham dan mempromosikan respons pantas.
Brunei Darussalam telah memulakan penubuhan Sambungan atau Infrastruktur Komunikasi Langsung ASEAN di bawah Rangka Kerja Mesyuarat-mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan juga mempengerusikan bersama ADMM-Plus EWG mengenai Keselamatan Maritim bersama New Zealand semasa pusingan 2014-2016 lalu yang bermatlamat membangunkan respons pertahanan dan tentera yang lebih efektif kepada cabaran-cabaran strategik maritim di rantau Asia Pasifik, mengenal pasti cabaran-cabaran keselamatan tentera serantau dan mempertingkatkan kerjasama maritim dan perkongsian maklumat lebih meluas.
Beliau mengulang semula komitmen penuh Brunei kepada mengekalkan keamanan dan keselamatan di rantau ini menerusi inisiatif-inisiatif kerjasama praktikal.
“Cara terbaik untuk mencapainya adalah dengan terus mengesahkan semula keahlian-keahlian penting kita dalam pertubuhan-pertubuhan seperti ASEAN, ADMM, ADMM-Plus serta platform-platform seperti Simposium Tentera Laut Pasifik Barat.
“Kerana, menerusi kolaborasi sedemikian menghasilkan inisiatif-inisiatif pembangunan keyakinan dan kepercayaan seperti Kod bagi Pertembungan Tidak Terancang di Laut (CUES) yang membawa nilai besar kepada mempromosikan keamanan, kestabilan dan terutamanya kerjasama,” katanya.
Selain itu, beliau juga mengingatkan bahawa Kementerian Pertahanan dan ABDB sentiasa berpandukan kepada dasar-dasar luar Brunei, mengetengahkan bahawa mereka bekerjasama rapat dengan rakan-rakan di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan.