Saturday, March 15, 2025
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Diplomat mogok, lebih 100 kedutaan Israel ditutup

    BAITULMAQDIS, 30 OKT – Diplomat Israel memulakan mogok terbuka hari ini, menutup lebih daripada 100 kedutaan dan pejabat konsul di seluruh dunia dalam bantahan berhubung keadaan kerja.

    Mogok menyusuli perbalahan berlarutan di antara kakitangan diplomatik dan kementerian kewangan, yang dikatakan oleh duta telah mengubah peraturannya mengenai bayaran balik perbelanjaan untuk merai tetamu rasmi.

    “Kami dipaksa menutup semua pejabat konsul Israel di dunia pada hari ini,” kata kesatuan kakitangan kementerian luar dalam satu kenyataan.

    “Tidak ada perkhidmatan yang akan diberikan kepada orang awam dan kemasukan ke pejabat duta tidak dibenarkan.”

    Duta Israel ke Belgium, Emmanuel Nachshon, berkata perbalahan adalah mengenai tuntutan perbendaharaan meminta resit diberikan untuk perbelanjaan oleh mereka yang merai tetamu rasmi dalam negara.

    “Kedutaan kami ditutup sama seperti semua kedutaan Israel di dunia,” beritahunya kepada radio awam Israel.

    “Apabila anda menjadi hos kepada seseorang dalam kediaman anda, apabila anda mengadakan majlis makan malam atau aktiviti lain, adalah mustahil untuk anda menyediakan resit,” kata beliau.

    “Mereka perlu mempercayai kami apabila kami mengisytiharkan perbelanjaan berkenaan.”
    Akhbar harian Israel Globes melaporkan pada bulan lalu bahawa kementerian luar mengalami krisis teruk apabila pemotongan dilakukan beberapa kali terhadap belanjawannya, dan ketua akauntan telah mengarahkan semua duta supaya menghentikan semua perjalanan perniagaan dan hiburan dan menamatkan kerja lebih masa untuk kakitangan tempatan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda