Thursday, February 6, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Diplomat sertai pertunjukan fesyen sutera

    BANGKOK, 29 MEI – Thailand telah menganjurkan acara Ekstravaganza Fesyen Sutera Thai Sedunia dalam usaha menyokong industri sutera negara tersebut yang turut  menampilkan aksi ahli kor diplomatik di pentas peragaan.

    Pertunjukan fesyen Celebration of Silk, Thai Silk Road to The World ke-11 itu adalah sebahagian perayaan sempena ulang tahun kelahiran ke-90 Permaisuri Sirikit serta menghargai sumbangannya untuk industri sutera.

    Tahun ini, lebih 1,000 meter fabrik sutera telah digunakan oleh pelajar bidang fesyen untuk menghasilkan pelbagai rekaan busana yang menarik.

    Sementara itu, seramai 231 guru dan 318 pelajar dari 73 universiti dan kolej vokasional menyertai pertunjukan berkenaan yang telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Thailand, Profesor Dr Wissanu Kreangam.

    Beliau berkata pertunjukan tahunan tersebut melambangkan kerjasama komuniti diplomatik dalam mempromosikan pertukaran budaya serta mengeratkan hubungan dalam kalangan rakyat Thailand dan negara peserta.

    “Terima kasih kepada diplomat yang mengambil bahagian. Ia juga memberi peluang kepada pelajar mempelajari budaya dan warisan asing melalui rekaan pakaian sutera Thailand, ini adalah pengalaman berharga untuk generasi muda kita,” katanya.

    Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel dan isterinya Datin Catherina Cherian Samuel antara kor diplomatik yang turut mengambil bahagian dalam pertunjukan fesyen tersebut. – Bernama

    Datuk Jojie Samuel dan Datin Catherina Cherian Samuel memodelkan pakaian berinspirasikan tradisional Malaysia yang elegan di Ekstravaganza Fesyen Sutera Thai Sedunia yang diadakan di Bangkok. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda