TOKYO, 19 MAC – Diplomat tertinggi China, Korea Selatan dan Jepun akan bertemu di Tokyo hujung minggu ini untuk rundingan, kata negara-negara tersebut kelmarin.
Menteri Luar Jepun, Takeshi Iwaya berkata ketiga-tiga jiran berkenaan mempunyai pengaruh besar dan bertanggungjawab terhadap keamanan dan kemakmuran rantau ini dan masyarakat antarabangsa.
“Bagi menggalakkan kerjasama berorientasikan masa depan, kami ingin mengadakan pertukaran pendapat dan perbincangan secara terus-terang mengenai kerjasama antara ketiga-tiga buah negara dan situasi serantau,” katanya kepada pemberita.
Satu majlis makan malam bagi pertemuan tiga hala akan diadakan lusa antara Iwaya dan rakan sejawatannya dari Korea Selatan dan China, Cho Tae-yul dan Wang Yi, sebelum rundingan pada Sabtu.
Kementerian Luar Seoul berkata pertemuan menteri tiga hala itu akan menjadi yang ke-11 seumpamanya. Pertemuan terakhir sedemikian adalah pada November 2023 di bandar pelabuhan Busan di Korea Selatan.
Penyiar awam Jepun, NHK berkata ketiga-tiga menteri itu dijangka membincangkan kerjasama dalam bidang seperti pertukaran rakyat dengan rakyat, kerjasama ekonomi dan langkah-langkah untuk menangani penurunan kadar kelahiran.
Mereka juga berhasrat untuk bersetuju mengatur sidang kemuncak tiga hala menjelang akhir tahun, kata NHK.
Negara-negara itu juga akan mengadakan rundingan dua hala pada Sabtu, yang mana Jepun dan China akan mengadakan dialog ekonomi peringkat tinggi pertama mereka dalam tempoh enam tahun, kata Iwaya. – AFP
